KELKIT (Turki) 11 Ogos - Selepas 13,000 kilometer (km)
menjelajah ke lapan buah negara asing, pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia
(EM1M) menempuhi pelbagai pengalaman yang membuatkan diri terasa amat bersyukur
menjadi anak Malaysia.
Ia termasuklah topik sensitif di tanah air membabitkan
harga petrol yang seringkali dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk
membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan waima harganya meingkat 5 sen
berikutan pelarasan subsidi baru-baru ini.
Harga terbaru petrol RON95 di tanah air berapa pada tahap
RM1.85 seliter dan apabila ia dimaklumkan kepada rakyat republik ini, mereka
sukar untuk mempercayainya kerana terpaksa membayar 3.80 Lira yang bersamaan
dengan RM9.12 untuk jumlah yang sama.
Pasukan EM1M yang pertama kali membuat pengisian semula
petrol di bandar Erzurum, kelmarin, tururt merasakan keperitannya selepas lebih
sebulan membayar antara RM2 hingga RM3 untuk seliter petrol di Thailand, Laos,
China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Iran.
Setiap anggota pasukan EM1M dianggar memerlukan 80 liter
minyak untuk menamatkan sektor penjelajahan di Turki dan ia bermakna kami perlu
membelanjakan RM729.60 hanya untuk mengisi minyak.
Biasanya, ada yang berhujah jangan bandingkan harga petrol
di negara asing kerana ia selari dengan pendapatan penduduknya yang lebih besar
berbanding dengan rakyat Malaysia.
Di Turki, hujah berkenaan langsung tidak relevan kerana kami
dapat melihat bukan semua rakyatnya berpendapatan tinggi malah di sepanjang
laluan kami dari Dogubeyazit ke sini semalam, rata-rata penduduk kampung adalah
petani.
Kami tidak tahu sejauh mana kebenaranya, namun lalu lintas
di laluan yang kami gunakan tidak sesibuk di negara yang telah kami lalui,
mungkin ia berpunca daripada harga petrol yang mahal.
Sementara itu, kami tiba di sini kira-kira pukul 6 petang
selepas 470km menunggang motosikal Kawasaki Versys 650 daripada Dogubeyazit
bermula pukul 8 pagi.
Destinasi asal EM1M ialah sebuah bandar yang lebib besar
bernama Erzinchan namun Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim membuatkan
keputusan untuk mengubahnya ke sini bagi mengelakkan masa terbuang untuk
mencari jalan keluar pada hari berikutnya.
Kelkit merupakan sebuah bandar kecil seperti Jertih di
Terengganu namun lengkap dengan pelbagai jenis perkhidmatan dan kedai yang
menjual pelbagai jenis barangan keperluan.
Ia merupakan bandar utama kepada daerah Gumushane dan
namanya adalah bersempena Sungai Kelkit - antara sungai terbesar yang
bersambung dengan Sungai Yesil yang mengalir ke Laut Hitam.
Mengenai ibadah puasa, anggota pasukan EM1M yang beragama
Islam akan menyambut 1 Ramadan dengan melakukan perjalanan ke Ankara pagi ini
bagi menyertai umat Islam berbuka puasa di bandar berkenaan.
RMI BERSAMAAN 0.47 SEN LIRA.
ReplyDelete