Maklumat dan sumbangan sila layari:


Tuesday, August 31, 2010

Day 61 United Kingdom: London

Jutaan penghargaan dari EM1M kepada warga Kedutaan Malaysia di Paris yang diketuai sendiri oleh TYT Duta, Tan Sri Aziz Zainal yang sanggup memandu sejauh 250km semata-mata untuk bersama EM1M dan menyerahkan sumbangan mereka kepada projek anak yatim EM1M. Tahniah dan terimakasih dari EM1M. Moga Allah memberkatinya.
  SMS di terima 1:29pm (waktu Malaysia) 30 Ogos, 2010
Hari ke 61: Pagi yang dingin sekali lagi akan mengiringi perjalanan kami dari Reims ke bandar pesisir pantai Calais, France. Insyaallah, impian 4 anak Malaysia menjejakkan tayar motorsikal mereka dari Kuala Lumpur hingga ke kota London akan ditunaikan pada lewat petang ataupun malam ini waktu tempatan. Teruskan berdoa untuk kami agar dipermudahkan segalanya. Wassalam. Reims, France.
 SMS di terima 1:35pm (waktu Malaysia) 30 Ogos, 2010
Bermotifkan impian untuk bermotosikal merentasi benua di dalam tempoh yang telah ditetapkan. Bermisikan jenama 1MALAYSIA. Berkiblatkan anak yatim sebagai sumbangan kebajikan. Berbekalkan semangat Malaysia BOLEH! walaupun tiada berpengalaman. Berkat doa rakyat Malaysia, dilengkapi dengan perancangan yang teliti disamping pengunaan sumber yang ada dan dengan izin NYA. Kini, tidak lagi mustahil bagi anak Malaysia merentasi 18 buah negara melalui jalan darat sepenuhnya dari benua Asia ke benua Eropah seperti apa yang telah Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) rencanakan. Selepas 62 hari meredahi bumi asing, tepat jam 12.05 malam waktu Malaysia pada tanggal 31 Ogos 2010, deruman enjin motosikal EM1M telah dimatikan di Lancester Street, kota London, menandakan kembaraan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia KL-LONDON telahpun berakhir dengan selamat. 
Yesss! We did it... Selamat Hari MERDEKA ke 53!
 SMS di terima 12:06am (waktu Malaysia) 31 Ogos, 2010

EM1M: 436 km ke 'garisan penamat'

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

REIMS 30 Ogos - Tinggal 436 kilometer (km) sahaja lagi untuk pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) menamatkan perjalanan di London, United Kingdom (UK).

Terawal meraikan pencapaian pasukan EM1M menghampiri 'garisan penamat', semalam, ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang sanggup berkereta selama sejam setengah daripada Paris ke sini.

Beliau juga tidak menghadiri perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Pierre de Coubertin, Paris yang membabitkan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong dan mewakilkannya kehadirannya kepada Penasihat Pertahanan, Kapten Ismail Abdullah.

Segala-galanya dilakukan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu demi meraikan semangat 1Malaysia dan semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan yang kami bawa daripada tanah air merentasi 17 negara setakat hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, beliau berkata seluruh warga kedutaan kagum dan bangga melihat keupayaan sekumpulan anak Malaysia yang berjaya melakukan ekspedisi bermotosikal sehingga selamat tiba di Perancis.

Katanya, pencapaian pasukan EM1M membuktikan bahawa tiada yang mustahil dicapai anak Malaysia sekiranya ada kesungguhan dan perancangan rapi.

"Pengalaman yang dikutip sepanjang dua bulan berekspedisi wajar dibukukan untuk merangsang motivasi masyarakat khususnya generasi muda.

"Saya berharap pasukan EM1M dikekalkan pada tahun mendatang, jika tidak melakukan ekspedisi sekalipun ia boleh dimanfaatkan untuk projek-projek amal yang lain," katanya.

Dalam pertemuan berkenaan, Abdul Aziz turut menyerahkan sumbangan wang tunai 250 Euro yang dikutip di kalangan warga kedutaan untuk disalurkan kepada dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) yang dipromosikan pasukan EM1M.


France France FranceFrance

Mengiringi Abdul Aziz dalam pertemuan itu ialah Penasihat Kedutaan, Adlan Mohd. Shaffieq; Penasihat (Pendidikan dan Latihan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mohd. Faris Jazlan Ramli; Pengarah Tourism Malaysia di Perancis, Jeffry Munir; Penolong Penasihat Pertahanan, Mejar Mohammad Fadzilah Salleh dan Pembantu Khas Abdul Aziz, Fuad Hussain.

Mereka juga amat prihatin dengan kebajikan pasukan EM1M apabila membekalkan kami dengan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

Selepas Abdul Aziz dan rombongannya bersurai untuk kembali ke Paris, Adlan yang banyak membantu urusan lojistik pasukan EM1M bermula Mac lalu meluangkan masanya untuk terus bersama kami membincangkan tentang hobi bermotosikal.

Paling gembira ialah Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang kerana hasratnya untuk bertemu dengan kakitangan Kedutaan Malaysia yang menunggang motosikal berkuasa besar menjadi reliati.

Istimewanya, motosikal Yamaha Fazer 1000 milik Adlan merupakan satu-satunya motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik di Perancis.

France
FranceFrance

Sementara itu, pagi ini pasukan EM1M menuju ke Calais dan sekiranya masa mengizinkan akan terus menyeberangi Selat inggeris ke Dover, UK, sebelum menyertai upacara menaikkan Jalur Gemilang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, pagi esok.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia(IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.

Monday, August 30, 2010

Jalur Gemilang 'berkibar' di autobahn Jerman

saiful haizan hasam

SAARBRUCKEN (Jerman) 29 Ogos - Penggunaan grafik Jalur Gemilang dalam keadaan berkibar yang menyaluti badan motosikal Kawasaki Versys 650 pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) mempunyai maksud tersendiri.

Selain menjadi identiti negara asal kami, grafik rekaan dan tajaan Zulkawa Merchandise itu merupakan simbolik kepada pengibaran Jalur Gemilang oleh setiap anggota pasukan EM1M sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, lusa.


Sehingga hari ini, Jalur Gemilang tersebut telah kami 'kibarkan' dengan penuh bangga di 16 buah negara merentasi pelbagai bentuk muka bumi dan cuaca.

View XPDC 1MALAYSIA in a larger map

Bagaimanapun semalam, kami mencatatkan sejarah peribadi apabila berjaya 'mengibarkan' Jalur Gemilang sejauh 350 kilometer (km) di autobahn-lebuh raya terpantas di dunia.

Sebenarnya sejak kelmarin lagi kami teringin menggunakan autobahn kerana teruja dengan keistimewaanya yang dikatakan tidak memiliki had laju namun ia dipendam kerana pelbagai kebimbangan.

Antara yang bermain di fikiran kami ialah kebimbangan mengenai had laju minimum, dikhuatiri pergerakan kami terlalu perlahan untuk berada di atas autobahn sehingga menganggu pengguna yang lain.

Rupa-rupanya, kebimbangan kami tidak berasas kerana had laju minimum di autobahn adalah 60 kilometer sejam (km/j) sedangkan kelajuan purata kami di mana-mana laluan sebelum ini  ialah 80km/j

Kami pantas menyesuaikan diri dengan autobahn walaupun pada mulanya agak gusar melihatkan kelajuan kenderaan lain khususnya kereta-kereta mewah yang memecut lebih 200km/j.

Berdasarkan pemerhatian, autobahn sebenanya bukanlah tidak mempunyai had laju langsung cuma peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan tertentu seperti di laluan dua lorong dengan had laju 120km/j manakala di kawasan kerja penyelengaraan jalan pula, had lajunya ialah 80km/j.

Walaupun bergerak laju, para penggunanya amat cekap selain menghormati antara satu sama lain apabila tidak memaksa pengguna yang lebih perlahan ke tepi dengan membunyikan hon atau menggunakan isyarat kerdipan lampu hadapan.

Mereka juga akur dengan pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti tidak berada di lorong paling kiri (lorong paling laju) sekiranya lorong kanan mempunyai kekosongan.

Selain itu, semua pengguna dilarang berhenti di tepi autobahn kecuali jika berlaku kerosakan, namun jika ia berpunca daripada masalah kehabisan minyak, pemandunya dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh di saman kerana ia berpunca daripada kealpaan sendiri.

Paling tegas ialah mana-mana pengguna yang menyebabkan kejadian yang membahayakan nyawa atau memusnahkan harta benda seperti kenderaan lain serta infrastruktur autobahn, mereka dianggap melakukan jenayah dan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.

Dengan peraturan sedemikian, para penggunanya mempunyai sikap bertanggungjawab walaupun bebas memecut selaju mungkin di kawasan yang dibenarkan.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 .

Sunday, August 29, 2010

Day 60 France: Reims

Salam hari ke 60 dan selamat pagi Malaysia. EM1M akan menuju ke Reims, France sebentar lagi. Cuaca dijangkakan mendung di sepanjang perjalanan. Didoakan agar tidaklah ditimpa hujan sekali lagi. Wassalam.
SMS di terima 2:09pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010
EM1M kini berada di bumi France, negara ke 17 dari 18 negara keseluruhan. Cuaca dingin mengiringi perjalanan kami.
 SMS di terima 3:12pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010
Petikan dari Utusan Malaysia bertarikh 02 Julai 2010, "KOTA LONDON NANTIKAN KEHADIRAN EM1M!". Kota London makin dihampiri di dalam tempoh yang telah ditetapkan. Hanya jarak 436km sahaja yang memisahkan EM1M dari bumi London. Teruskan berdoa untuk keselamatan dan kesihatan kami. Salam mesra dari kami di Reims, France.
 SMS di terima 9:00pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010

EM1M di Jerman

saiful haizan hasam


MUNICH (Jerman) 28 Ogos - Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) semakin menghampiri destinasi terakhirnya di London apabila tiba di sini daripada Bern, Switzerland, malam tadi.

Pasukan EM1M mengambil masa hampir 12 jam untuk menamatkan perjalanan sejauh 450 kilometer (km) berikutan hujan lebat sepanjang 230 kilometer (km) pertama perjalanan.

Ia merupakan pengalaman menunggang dalam hujan lebat buat kali ketiga untuk kami selepas Kuala Kangsar ke Patthalung dan Hongyuan di China.

Cuaca sejuk pada tahap 10 ke 15 darjah celcius banyak membantu Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim dan penulis untuk meneruskan ibadat puasa.

Sebelum memasuki Jerman, pasukan EM1M terlebih dahulu memasuki Austria semula untuk jarak perjalanan sejuah 30 km sahaja.

Germany
Suasana di autobahn, lebuhraya terpantas dunia di Jerman

Ketibaan kami di Munich disambut oleh seorang kenalan Azizi daripada forum pemotoran maya antarabangsa, www.advrider.com, Phil yang turut disertai isterinya Marion dan anaknya, Patrizia.

Germany Germany
Philip, Marion (kiri) dan Patrizia yang menemani pasukan EM1M di Munich, Jerman.
Germany
Pasukan EM1M bersama Philip (tiga dari kanan) di Stachusbrunnen, Munich, Jerman
Phil yang merupakan seorang penunggang motosikal yang kerap menjelajah benua Eropah menyifatkan kami 'gila' kerana sanggup melakukan ekspedisi sejauh 22,000 kilometer (km) dan meninggalkan keluarga selama dua bulan.

Beliau sekeluarga turut menyertai kami untuk berbuka puasa secara sempurna kerana sebelum itu hanya air mineral yang menjadi 'juadah' berbuka Azizi dan penulis.

Pelbagai persoalan diajukan Phil mengenai Malaysia termasuklah mengenai ibdah puasa yang tidak begitu diketahuinya.

Germany Germany
Germany Germany Germany

Sementara itu pagi ini pasukan EM1M memulakan perjalanan ke arah sempadan Perancis dan akan memasuki negara berkenaan pagi esok.

Perancis merupakan negara terakhir yang dilalui pasukan EM1M sebelum tiba di United Kingdom (UK).
Kami dijadualkan bermalam di Reims dan dijangka akan menyertai majlis berbuka puasa bersama Duta Besar Malaysia di sana, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 .

Day 59 Germany: Saarbrucken

Saarbrucken, Germany akan menjadi destinasi ketiga terakhir kami sebentar lagi. Masih berada di Munich, menikmati kedinginan hujan di sini. Autobahn mungkin menjadi pilihan kami. C ya later!
 SMS di terima 5:05pm (waktu Malaysia) 28 Ogos, 2010
Melayari "GLOBAL COOLING" di Autobahn 8 pada suhu 15 deg C pada musim summer di German. Telahpun melepasi Stuggart menghala ke Karlsruhe dan ke destinasi kami, Saarbrucken. Doakan kami selamat.
 SMS di terima 10:05pm (waktu Malaysia) 28 Ogos, 2010
Hari yang membahagiakan. Melayari autobahn tanpa ada perasaan gusar "ditangkap speed trap". Cuaca dingin, sejuk dan hujan mengiringi EM1M sehingga ke SaarbrĂșcken. Selamat menempuhi hari ke 59 di SaarbrĂșcken, Germany.
  SMS di terima 2:16am (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010

Saturday, August 28, 2010

Day 58 Germany: Munich

45 hari yg lalu adalah kali terakhir EM1M bermandikan hujan di China. Hujan rahmat serta cuaca sejuk mengiringi EM1M dari Bern hingga sekarang. Mohon didoakan keselamatan kami. C u in Munich!
  SMS di terima 2:57pm (waktu Malaysia) 27 Ogos, 2010
Hujan dan cuaca sejuk mengiringi EM1M menjejak kaki di bumi Munich. Disambut oleh rakan laman cyber kami Mr Philip @ Philofax, Marion dan anaknya Patricia. Thank you very much Phil! Another 3 sectors to complete our journey.
  SMS di terima 5:58am (waktu Malaysia) 28 Ogos, 2010

Pasukan EM1M tiba di Bern, Switzerland

saiful haizan hasam/pix
saiful.hasam@utusan.com.my

BERN (Switzerland) 26 Ogos - Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) pagi semalam memasuki negara ke-15 dalam siri penjelajahnnya iaitu Switzerland, sebuah negara yang dianugerahkan dengan landskap semulajadi yang cukup indah.

Kami pada mulanya tidak menyedari telah memasuki Switzerland sewaktu berhenti berhenti rehat di Passo dello Spluga kerana terlepas pandang pos pengawal kecil yang tiada petugas sebelum dimaklumkan pelancong tempatan bahawa pasukan EM1M sudah meninggalkan Itali.

Membezakan Switzerland dan Itali ialah, landskap semulajadinya yang lebih indah walaupun di kawasan perkampungan biasa sehingga kami kerap berhenti untuk untuk merakamkan gambar.

Switzerland Switzerland Switzerland
Switzerland Switzerland Switzerland
Switzerland Switzerland Switzerland

Menyusuri laluan berliku pergunungan Alps di Switzerland juga berbeza dengan pengalaman yang kami tempuhi di Slovenia dan Itali kerana perasaan bimbang dan takut-takut melihat gaung yang curam dilenyapkan oleh keindahan alam sekitarnya.

Reka bentuk laluan mendaki dan menurun juga menitikberatkan aspek keselamatan selain permukaan jalan yang amat baik dan terjaga kerana kawasan berkenaan merupakan tarikan pelancongan utama di Switzerland.

Paling menarik di sepanjang laluan yang kami gunakan ke sini semalam ialah Susten Pass yang boleh dianggap sebagai 'taman permainan' kepada peminat kereta, motosikal serta basikal.

Kami yang berhenti di kawasan puncak tertnggi dapat melihat jaluran jalan raya di lereng gunung yang berliku dan 'kegilaan' penduduk setempat dan negara jiran kepada aktiviti yang mencabar.

Bagi pemandu kereta dan penunggang motosikal berkuasa besar, mereka cukup berani menguji kuasa enjin kenderaan mereka sedangkan jika berlaku kemalangan, risiko untuk terjatuh ke dalam gaung amat besar manakala penunggang basikal pula cukup bertenaga di laluan mendaki.

Kami yang menunggang Kawasaki Versys 650 dengan perlahan kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati keindahan alam sekitar pula sentiasa memerhatikan cermin pandang belakang dan memberi laluan sekiranya ada kenderaan lain mengekori kerana tidak mahu menganggu 'keseronokan' mereka.

Sementara itu, kami tiba di ibu negara Switzerland iaitu Bern kira-kira pukul 6 petang selepas 320km meninggalkan Dongo, Itali.

Ketibaan kami disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Ho May Yong dan pegawai serta kakitangan kedutaan sebelum diraikan dalam satu majlis berbuka puasa yang turut disertai suaminya, Lai Yew Seong.

May Yong yang memulakan tugas diplomatiknya di sini bermula Jun lalu mengucapkan syabas kepada pasukan EM1M kerana berjaya menggabungkan peserta berbilang bangsa untuk mengharungi perjalanan yang mencabar demi meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau turut menasihatkan pasukan EM1M supaya terus fokus untuk menamatkan ekspedisi yang hanya berbaki kurang seminggu sahaja lagi.

Switzerland Switzerland Switzerland
Switzerland Switzerland Switzerland

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.


Thursday, August 26, 2010

Day 55 - 57 Switzerland: Bern

Good bye Cortina d' Ampezzo. One of the famous ski resort in Europe. Heading closer to Bern, Switzerland via Giau Pass-Moena-Cles to Lugano or Gravedona. Currently 20 km away fm Trento. As usual, we avoid d motorways, superb road n weather. Ciao!
 SMS di terima 6:57pm (waktu Malaysia) 24 Ogos, 2010
Syukur kehadrat Illahi, hasrat yang telah lama EM1M pendam utk bermalam di camp site tercapai jua akhirnya di Dongo, pesisir tasik Lario, Italy. Insyaallah esok kami akan ke Bern, Switzerland. Salam n Ciao!
  SMS di terima 1:44am (waktu Malaysia) 25 Ogos, 2010
Now we are in Passo d' Spluga. Italy n Swiss border. Heading to Splugen - Tamins - Andermatt - Interlaken - Bern. C ya!
  SMS di terima 3:22pm (waktu Malaysia) 25 Ogos, 2010
Ramai yg telah ketahui negara Switzerland sememangnya cantik. Selekoh-selekoh pergunugan Alps di Sustenpass dan Passo d' Spulga amat memukau mata penunggang jati. Ditambah pula dgn keadaan permukaan jalan yg amat digilai oleh "bikers". Pakej begini amat "menyelerakan" EM1M dan kami telah selamat tiba di Bern, Switzerland. C ya!
 SMS di terima 2:15am (waktu Malaysia) 26 Ogos, 2010

EM1M: Negara yang dilalui bertambah menjadi 18 buah

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.my

DONGO (Itali) 25 Ogos - Jumlah negara yang dilalui pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) kini bertambah menjadi 18 buah apabila memasuki Slovenia tengahari kelmarin semata-mata untuk menimba pengalaman menunggang di Vrsic Pass.

Pertambahan satu negara itu dapat dilakukan kerana pasukan EM1M kini berada dalam keadaan selesa untuk tiba di London pada 31 Ogos sekaligus menepati sasaran menamatkan penjelajahan dari Kuala Lumpur dalam tempoh 62 hari.

Kami yang meninggalkan Saint Veit, Austria pada mulanya memasuki Itali melalui Tarvisio sebelum melencongkan laluan ke Vrsic Pass, sebuah laluan banjaran gunung yang tertinggi di Slovenia dan dibuka lewat 1915 untuk tujuan ketenteraan.

Austria Italy Slovenia

Tiga jam kami peruntukkan untuk mengharungi cabaran di Vrsic Pass yang mempunyai 48 selekoh 180 darjah dalam keadaan mendaki dan menuruni kawasan pergunungan yang menjadi tarikan pelancongan di Slovenia.

Slovenia Slovenia Slovenia
Slovenia
Pasukan EM1M sewaktu berada di Vrsic Pass, Slovenia 23 Ogos, 2010
Kelapangan masa untuk mengubah laluan ke Slovenia turut disumbangkan oleh prosedur imegresen negara Kesatuan Eropah (EU) yang dipermudahkan tanpa perlu mengecop pasport terlebih dahulu.

Melintasi sempadan Itali ke Slovenia dan kembali semula ke Itali ibarat melintasi sempadan negeri di Malaysia, langsung tidak perlu berhenti kerana kompleks imigresen yang tersergam sudah ditinggalkan.

Bagaimanapun sewaktu  keluar dari Slovenia ke Itali menggunakan laluan berbeza, hanya satu papan tanda dipacak bagi menandakan sempadan kedua buah negara.

Slovenia
Pasukan EM1M melintasi sempadan Itali dan Slovenia 23 Ogos, 2010.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Cortina D' Ampezzo, sebuah bandar yang terkenal dengan sukan luncur salji pada musim sejuk selain pernah menjadi venue penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 1956 dan menjadi lokasi pengambaran filem Pink Panther, James Bond' For Your Eyes Only' dan Cliffhanger.

Italy
Italy
Pasukan EM1M sewaktu berada di Cortina D' Ampezzo, Itali 24 Ogos, 2010.
Sepatutnya pasukan EM1M berehat sehari di Cortina D' Ampezzo yang menggantikan Milan yang tidak kami masuki kerana tidak mahu membuang masa mengharungi kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapon kerana kos penginapan yang terlalu mahal, Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan menghala ke Switzerland.

Ia merupakan satu keputusan yang amat menggembirakan anggota pasukan EM1M yang masih belum puas menduga kemahiran di laluan berliku di Itali yang juga menjadi syurga penunggang motosikal berkuasa besar dari seluruh Eropah.

Di sepanjang laluan, boleh dikatakan selang dua minit kami akan berselisih dengan penunggang motosikal berkuasa besar.

Membezakan mereka dengan penunggang motosikal berkuasa besar di negara kita ialah aksi mereka tidak ekstrem jika dibandingkan dengan suasana di Lebuhraya Karak dan Cameron Highlands pada hujung minggu.

Kebanyakan daripada mereka membawa pembonceng dan sentiasa menyapa kami dengan mengangkat jari telunjuk yang menyamai isyarat tangan yang paling popular di tanah air pada masa ini iaitu 1Malaysia.

Selepas berada di jalan raya kira-kira sembilan untuk jarak perjalanan 320 kilometer (km), pasukan EM1M bermalam di tapak perkhemahan di pinggir Tasik Como yang terletak di Dongo, sebuah bandar tempat tertangkapnya diktator Benoti Mussolini dan tokoh fasis utama Itali pada 27 April 1945.

Italy
Maxweel Ripin (kiri) dan Chua Chern Kwang memasang khemah di tapak perkhemahan Tasik Como, Dongo, Itali 24Ogos, 2010.
EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 17 negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari layari www.irm.org.my atau hubungi Pengurus Pembangunan Dana IRM, Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.

Wednesday, August 25, 2010

EM1M mewah dengan makanan Malaysia sewaktu berbuka puasa

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

SAINT VEIT (Austria) 24 Ogos - Walaupun sudah lebih 17,000 kilometer (km) meninggalkan tanah air, bulan Ramadan yang bermula sejak 14 hari lalu membuatkan anggota pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) terasa begitu dekat dengan Malaysia.

Walaupun ibadah puasa peserta EM1M yang beragama Islam tidaklah sesempurna tahun sebelumnya kerana bermusafir, keberkatan Ramadan dapat dirasakan apabila kami diberi layanan istimewa oleh penggerak misi diplomatik Malaysia di luar negara selama empat hari berturut-turut bermula Rabu hingga Sabtu lalu.

Di Budapest, pasukan EM1M diundang Duta Besar Malaysia ke Hungary, Datuk Kamilan Makson untuk bermalam di kediaman rasminya  selain diraikan dalam dua majlis berbuka puasa yang berasingan.

Hungary Hungary Hungary

Pada hari pertama, kami berbuka puasa bersama pegawai dan kakitangan kedutaan Malaysia di Hungay dan pada hari berikutnya, kami diraikan dalam majlis berbuka puasa di kediaman Kamilan.

Menunya, pastilah makanan Malaysia seperti kari ayam, udang sambal petai, mee jawa, kuih seri muka dan tepung pelita dan beberapa jenis makanan lain sehingga semua anggota pasukan EM1M terasa seperti berbuka puasa di rumah bersama keluarga sendiri.

Lebih istimewa, juadah berbuka disediakan sendiri oleh Isteri Kamilan, Datin Zubaidah Abdullah termasuklah bubur lambuk yang kami rasakan lebih sedap daripada Bubur Lambuk Kampung Baru yang begitu popular sepanjang Ramadan di Kuala Lumpur.

'Pesta' makanan Malaysia bersambung pula di Vienna pada Jumaat dan Sabtu lalu apabila pasukan EM1M diundang Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob untuk berbuka puasa di kediaman rasminya.

Austria Austria Austria
Austria Austria Austria
Mata kami rambang melihat juadah berbuka yang disediakan isteri beliau, Datin Izdina Izaidin khusus untuk meraikan pasukan EM1M dan kami difahamkan ia adalah majlis keraian pertama diadakan sejak Muhammad Shahrul Ikram memulakan tugasnya di Vienna pada Jun lalu.

Tidak ketinggalan meraikan pasukan EM1M dalam majlis berbuka puasa pada hari kedua di Vienna ialah Menteri Penasihat merangkap Ketua Canseri, Ismail Salam yang mempunyai bakat terpendam apabila menyediakan pulut panggang yang amat 'laris' pada malam berkenaan.

Austria Austria
Secara peribadi, majlis berkenaan adalah sesuatu yang amat bermakna buat Ismail kerana berpeluang meraikan Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim yang merupakan 'junior' beliau sewaktu sama-sama menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD).

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 17 negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan penyumbang terbesar setakat ini ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Sumbangan boleh dibuat secara online dengan melayari www.irm.org.my dan sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pengurus Pembangunan Dana IRM, Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.