Maklumat dan sumbangan sila layari:


Monday, August 9, 2010

Umpama kembali kepangkuan keluarga

saiful haizan hasam/pix
saiful.hasam@utusan.com.my

TABRIZ (Iran) 8 Ogos - Setiap Jumaat dan Sabtu, Kedutaan Malaysia di Tehran akan ditutup sempena cuti hujung minggu.

Namun kelmarin, atas keperihatinan Duta Besarnya, Mohd. Sadik Kethergany, pejabat kedutaan di Valenjak Avenue-satu kawasan elit di utara Tehran-'dibuka' khusus untuk meraikan anggota pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M).

Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) bersama pegawai  Kedutaan
Malaysia di Iran dan ahli keluarga mereka di Tehran - 6 Ogos, 2010.
Walaupun Mohd. Sadik tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen yang lebih penting, seluruh kakitangannya yang terdiri daripada Setiausaha Kedua, Najmi Wahidi Abu Bakar, Setiausaha Ketiga, Roslan Che Ahmad, Pembantu Khas Setiausaha Kedua, Nor Azizi Abdullah dan Pembantu Peribadinya, Zaleha Mohd. Kurid hadir pada majlis berkenaan.

Cuma, Ketua Canseri, Ahmad Zuwairi Yusof yang banyak membantu keperluan diplomatik dan lojistik EM1M sebelum ini tidak dapat menghadirinya kerana pulang bercuti di tanah air.

Turut sama meraikan kami ialah isteri dan anak-anak kakitangan kedutaan yang membuatkan suasana menjadi lebih meriah sehingga kami merasakan umpama pulang kepangkuan keluarga walaupun untuk seketika.
Sambil menikmati menu makan tengahari yang terdiri daripada nasi ayam dan kuih muih Malaysia, pelbagai perkara menjadi topik perbualan daripada isu serius seperti keadaan semasa di Iran sehinggalah kepada pengalaman anggota pasukan EM1M dan persiapan menyambut ketibaan Ramadan beberapa hari lagi.

Masa tiga jam berlalu dengan pantas namun layanan yang diberikan mereka pastinya akan dikenang sampai bila-bila sebagaimana pantun empat kerat "pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati,".

Sementara itu, pasukan EM1M tiba di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas 613 kilometer (km) meninggalkan Tehran yang merupakan bandar ke-21 terbesar di dunia.

Pada mulanya Ketua EM1M, Kapten Azizi Hashim agak gusar memikirkan bagaimana untuk keluar daripada Tehran yang mempunyai jaringan jalan raya bersimpang siur dan sentiasa sibuk dengan lalu lintas namun masalah berkenaan selesai apabila Roslan dan pemandu kedutaan yang dikenali sebagai Hassan bersedia untuk menjadi penunjuk arah.

Sebelum berpisah, Roslan turut menyerahkan sekeping surat daripada Kementerian Luar Iran bagi membantu urusan keluar daripada Republik Islam ini dan yang paling menggembirakan kami ialah bekalan nasi goreng yang disediakan isterinya.

Laluan yang kami gunakan dari Tehran ke sini ialah lebuh raya tiga lorong yang berada dalam keadaan yang baik sekaligus mengimbau kenangan menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menuju ke arah utara pada hari pertama EM1M, 1 Julai lalu.

Pasukan EM1M di kawasan gurun sewaktu menuju ke Tabriz, Iran 7 Ogos, 2010.
Tidak seperti di Tehran, pengguna lebuh raya berkenaan amat 'berdisiplin' kerana selang 50km pasti ada anggota polis yang berdiri di tepi jalan dengan kamera pengesan kelajuan.

Membezakan mereka dengan pengguna lebuh raya di tanah air ialah, lorong paling kiri (sistem pemanduan di sebelah kiri) hanya digunakan untuk memotong dan apabila selesai berbuat demikian mereka akan berada di lorong tengah atau lorong paling kanan.


Iran Iran
Iran Iran
Iran Iran
Iran

No comments:

Post a Comment