Maklumat dan sumbangan sila layari:


Sunday, August 15, 2010

Hari yang bermakna di Ankara

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

ISTANBUL (Turki) 14 Ogos - Kelmarin merupakan hari yang paling bermakna buat anggota pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) kerana menerima beberapa kejutan sewaktu berada di Ankara, kira-kira 340km dari sini.

Kami yang merancang untuk berbuka puasa dengan makanan tempatan di sebuah restoren menerima jemputan daripada Atase Pertahanan di Kedutaan Malaysia, Kolonel Abu Sufian Ahmad untuk berbuka puasa di rumahnya.

Turkey
Pasukan EM1M dan Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien bersama ahli keluarga Abu Sufian Ahmad di Ankara, Turki 12 Ogos, 2010.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, pastinya jemputan sedemikian pada hari kedua bulan Ramadan tidak akan ditolak oleh sesiapa sahaja yang berjauhan dengan tanah air.

Juadah berbuka ala Malaysia yang disediakan isteri Abu Sufian, Norizan Megat Hashim amat membuka selera iaitu roti jala, ayam masak lemak dan udang sambal petai.

Mungkin ia menu biasa bagi orang lain namun bagi kami juadah berbuka puasa di rumah pasangan Abu Sufian dan Norizan pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

Turut diraikan Abu Sufian dalam majlis berbuka puasa itu ialah seorang pengembara solo yang menaiki motosikal 'kapchai' dari Kuala Lumpur ke London, Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien melalui projek 'I Am Malaysian'.

Turkey
Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien bersama Kawaski Versys yang digunakan pasukan EM1M
Kami yang pernah berseloroh dengan beliau untuk minum teh tarik di Turki beberapa bulan lalu tidak menyangka dapat bertemu walaupun sudah terputus hubungan sejak EM1M memulakan perjalanan pada 1 Julai lepas.

Pelbagai pengalaman dikongsi kerana walaupun destinasi kami sama, laluan peringkat awal yang digunakan EM1M dan beliau adalah berbeza.

Pada sebelah siangnya, pasukan EM1M berkesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Turki, Datuk Saipul Anuar dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk berkongsi pengalaman yang ditempuhi sepanjang penjelajahan kami.

Sementara itu, pasukan EM1M tiba di sini awal petang semalam dan terus melakukan penyelenggaraan dan menukar tayar motosikal Kawasaki Versys di sebuah bengkel pengedar Kawasaki di pinggir bandar ini.

Ia merupaan persediaan kepada pasukan EM1M untuk melakukan penjelajahan di benua Eropah bermula di Bulgaria esok.

Walaupun Istanbul merupakan bandar terbesar di republik ini, anggota pasukan EM1M nekad untuk meredah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak petang semalam sambil menikmati keindahan Selat Bosphorus.

Walaupun hanya menggunakan teknik 'redah sahaja' kami berjaya tiba di hotel penginapan di Dataran Sultanahmet yang terletak bersebelahan dengan Masjid Sultanahmet atau Masjid Biru yang dibina antara 1609 dan 1616.


Turkey Turkey Turkey
Turkey Turkey Turkey
Turkey

1 comment:

  1. noorizyani abu sufianDecember 25, 2011 at 2:57 AM

    Kalau ke turki lagi,silalah ke teratak ayah bonda saya di ankara. .

    ReplyDelete