Maklumat dan sumbangan sila layari:


Sunday, August 8, 2010

Dari keyboard 1M-CAH: Hongyuan - Korgos


Dari Tengah ke Barat CHINA "Ah Seng Besar, Ah Seng Kecil, Ah Seng Janggut dan Ah Seng Bulat" itulah nama timangan yang digunakan antara kami setelah hampir dua minggu berada di Negara Tembok Besar.

12 Julai 2010: Dari kawasan pergunungan setinggi 13'000 kaki kami menuruni ke paras 10'000 kaki. Hujan mengiringi kami. Cuaca mulai menurun ke paras 10 darjah celcius. Sewaktu menunggang, dengan tiupan angin ianya menurun ke paras 5 darjah celcius. Menggigil, memang menggigil. Pemanas di tangan telah tidak dirasai lagi.

Keindahan pergunungan Gannan di wilayah Gansu amat memukau mata memandang. Hezuozhen destinasi yang kami tujui. Merentasi kawasan desa, dilihat ramai penduduk beragama Islam serta masjid berada di sepanjang perjalanan kami.

Melintasi satu pekan yang bersaiz lebih kurang pekan Sungei Besi, hanya kopiah berwarna putih serta tudung berwarna hitam yang memenuhi pekan tersebut. Sayu dan gembira melihat keadaan tersebut di negara China ini.

Hezuozhen - kami singgahi untuk bermalam. Makanan yang halal tidak lagi menjadi persoalan. Sate kambing dijadikan hidangan untuk makan malam.

13 Julai 2010: Xining, ibunegeri bagi wilayah Qinghai menjadi destinasi seterusnya. Berada di paras 8'000 kaki dari aras laut.

Lanzhou yang terlalu hampir dilewati begitu saja. Kami kini telahpun terkehadapan selama satu hari. Akan kami gunakan sebagai hari untuk berehat di Almaty kelak.

Cuaca yang nyaman mengiringi kami disepanjang perjalanan.Alhamdulillah, perjalanan kami lancar menuju ke bandar yang sebesar Kuala Lumpur ini.

"The Muslim Restaurant" menjadi tempat untuk kami mendapatkan hidangan makan malam. Esok adalah hari rehat untuk EM1M. Namun penyelenggaraan berkala motosikal Kawasaki Versys kami akan dilakukan secara gotong royong oleh kami berempat.

Sempat juga bersiar di Xining. Boleh dikatakan ianya terbahagi kepada dua kawasan antara warga Muslim dan bukan Muslim. Perihal pemakanan tiada langsung menjadi persoalan.

15 Julai 2010: Xining ditinggalkan menghala ke Linze. Kawasan pergunungan setinggi 13'000 kaki wajib kami lewati lagi. Indah sungguh ciptaan Illahi!!! Ditemani langit membiru beserta bumi yang diselaputi bunga-bunga yang berwarna kuning, menambahkan lagi kecantikan alam ini.

Linze, hanyalah bandar yang bersaiz sederhana. Kemudahan infrastruktur tidaklah begitu lengkap lagi. Hotel yang didiami tidak mempunyai penghawa dingin walaupun cuaca di sini agak kepanasan. Apatah lagi kemudahan internet.

16 Julai 2010: Linze ditinggalkan menuju ke Yumen. Laluan nasional yang  melewati desa kami redahi. Keadaan jalanraya tidaklah begitu baik namun tidaklah seteruk di wilayah Yunnan dan Sichuan. Menyusuri ladang sayur-sayuran di paras ketinggian antara 3'000 kaki yang mendatar dan lurus, memaksa kami banyak melakukan perhentian bagi menghilangkan rasa mengantuk.

"Seng! Lu tak ngantuk kaa?" tanya Ah Seng Besar.
"Macam biasa... mesti mengantuk punya! Kalau tak ngantuk itu luar biasa" jawab Ah Seng Kecil.

Di petengahan jalan, pertama kali menikmati "HAMI MELON". Memang lazat tak terperi dengan kemanisannya. Micheal, penunjuk arah kami diberikan tugas untuk mendapatkan "Hami Melon" setibanya di Yumen. Nah..... 4 biji dibelikannya.

17 Julai 2010: Dari Yumen kami menuju ke Hami. Laluan di kawasan gurun Gobi akan kami lalui. Lebih dikenali sebagai "Laluan Sutera Utara" yang digunakan oleh pedagang zaman dahulu kala yang menghubungkan Timur Tengah hingga ke bandar Xi'an di China.

Suhu cuaca mula menunjukkan tanda peningkatan. Kenderaan-kenderaan dagangan menguasai laluan ini. Kami berempat hanyalah umpama semut yang berada dilaluan gajah. Menjadi tumpuan pemandu-pemandu. Namun wajib diingat....Tingkatkan tahap kewaspadaan!

Bibir saya mula merekah. Kepedihan mula dirasai. Sungguh azab menunggang dengan kepedihan dibibir yang mula ketara. Krim pelembap mula dirasakan tidak berfungsi. Cabaran! Itulah salah satu cabaran yang kami sendiri cari. Usah mengeluh. Suhu 45 darjah celcius wajib ditempuhi. Tabahkan diri.

Tanah tinggi di sebelah kanan kami yang puncaknya diselaputi salji menjadi penawar diri untuk melupakan kepanasan.

Tiba di Hami. Masa yang agak lama diambil untuk mencari tempat penginapan. Stesen minyak dijadikan tempat menunggu. Sempat membilang jumlah lori yang tidak putus-putus membawa "Hami Melon" sebagai barangan dagangan.Harga satu kilogram di sini adalah RM1. Namun ianya mencecah RM30 bagi sekilogram bila ianya tiba di bandar pelabuhan Guangzhou yang terletak di tenggara negara China.

Kepanasan berakhir bila tibanya waktu tengah malam. Kesejukan pula yang hadir. Begitulah cuaca di gurun.

18 Julai 2010: Turpan, atau dalam sebutan di sini sebagai Tu Lu Fan menjadi destinasi kami seterusnya. Awal pagi kami sudah berada dijalanan bagi mengelakkan kepanasan. Gurun Gobi kami redahi lagi.

Suasana nyaman bertukar menjadi mimpi ngeri bila kami berada di antara bandar Shanshan dan Turpan. Jarak sejauh 100 km ini sungguh menyeksakan kami. Suhu memuncak ke paras 50 darjah celcius.

Umpama pengering rambut dihalakan ke muka kami apabila menunggang.

Angin kencang menambahkan lagi suhunya. Kepanasan dan keperitan diseluruh badan. Muka. Badan. Peha. Kaki dan tangan. Tiada tempat untuk melarikan diri. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa perit dan azabnya waktu itu.

Namun faktor keselamatan tidak kami abaikan. Ianya benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan diri kami. Susah untuk saya terjemahkan dengan kata-kata.

Turpan Hotel menjadi destinasi penginapan kami. Bahang kepanasan berlarutan hingga ke malam.

19 Julai 2010: Awal pagi kami sudah berada di atas motorsikal bagi mengelakkan kepanasan. Urumqi ataupun Wu Lu Mu Qi destinasi seterusnya. Jarak 185 km dari Turpan. Kedinginan pagi dapat kami rasai.

Namun dalam kedinginan tersebut kami dihiburkan pula oleh kekuatan angin lintang yang mencecah 50-60km/j. Menunggang motorsikal secara mengiring bagi memastikan motosikal kami terus kehadapan bukanlah sesuatu yang mudah. Satu pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Jam 11 pagi kami sudah berada di ibunegeri wilayah Xinjiang. Bandar yang menjadi idaman saya sejak 2007. Masyarakat Uighur adalah penduduk majoriti di samping masyarakat dari kaum Han. Nasi "plov" dan sate kambing dijadikan hidangan tengahari oleh kami. Hingga kini kelazatan sate kambing tersebut masih kami ingati. Memang lazat!

Urumqi yang berpenduduk seramai 2 juta orang, dipenuhi oleh masyarakat yang beragama Islam. Pemakanan serta tempat ibadah tidak menjadi masalah bagi pelancong Malaysia yang beragama Islam untuk ke sini.

Telahpun saya cadangkan kepada pihak penaja kami iaitu MAS agar dapat mengadakan penerbangan terus ke bandar ini. Berpotensi untuk mendapatkan jumlah penumpang yang mencukupi dari kedua-dua arah. Saya jangkakan ianya akan mengambil masa penerbangan antara 6-7 jam dari Kuala Lumpur.

21 Julai 2010: Urumqi kami tinggalkan menghala ke Jinghe. Bandar yang terletak di pertengahan antara sempadan Kazakhstan dan Urumqi. Masih lagi dipenuhi oleh masyarakat Islam. Sebutan "assalamualaikum" dijadikan senjata oleh saya untuk mendekati mereka. Sempat juga saya menggunting rambut yang telah mulai panjang. Kosnya adalah RM 6. Murah sedikit dari harga di Kuala Lumpur.

22 Julai 2010: Bandar terakhir di China adalah Korgos. Bandar sempadan antara China dan Kazakhstan. Hampir 5400 km kami telah menjelajah di negara China ini. Pihak agen sibuk menguruskan dokumentasi untuk kami keluar dari negara China ini selepas hampir 3 minggu berada di negara Tembok Besar. Urusan dokumentasi dimulakan pada jam 10 pagi. Kami setia menunggu di hotel penginapan. Siap sedia untuk menunggu lampu hijau dari pihak kastam China dan sebagainya.

Penantian satu penyiksaan. Jam 5.30 petang, berita yang ditunggu telah tiba. Kami hanya mempunyai masa selama 1 jam setengah sahaja sebelum pintu sempadan ditutup. Meluru dengan pantas untuk kami menyelesaikan urusan dokumentasi.

Tuhan telah menolong kami sekali lagi. Andainya tiada kelulusan untuk kami keluar pada 23 Julai lalu, pastinya kami akan terlewat dari jadual perjalanan kerana pada keesokkan harinya pihak kastam di pintu sempada tidak bekerja.

23 Julai 2010: Tepat jam 7 petang waktu China, kami telah pun selamat meninggalkan bumi Tembok Besar ini yang telah banyak memberikan kami pengajaran, cabaran untuk menilai tahap kemampuan diri dan sebagainya.

Dari suhu tropika ke suhu sejuk hinggalah ke suhu gurun. Dari serendah altitud hinggalah setinggi altitud. Dari seindah jalan hinggalah ke tahap yang tidak layak bernama jalan. Semuanya ada di negara China.

Benarlah kata pepatah.... "TUNTUTLAH ILMU HINGGA KE NEGERI CHINA!"

Berjumpa lagi di Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan....

Capt Azizi Hashim
Ketua Xpedisi
TEHRAN – 06 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment