Maklumat dan sumbangan sila layari:


Sunday, August 8, 2010

Rakyat Iran pertahan ikatan kekeluargaan

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

TEHRAN (Iran) 7 Ogos - Cuti musim panas selama tiga bulan bagi pelajar sekolah dan universiti di republik Islam ini disambut dengan meriah sehingga laluan kawasan pergunungan yang kami tempuhi dari Gorgan ke sini, semalam, agak sesak dengan kenderaan yang bertali arus.

Mood bercuti dikalangan rakyatnya begitu dirasakan apabila mereka berkelah dan bersantai bersama keluarga masing-masing ditepi jalan raya sambil menikmati pemandangan kawasan pergunungan yang begitu indah.

Mereka membawa makanan sendiri dan ada juga yang memasak makanan menggunakan dapur kecil kerana di Iran, kebanyakan restorennya mensasarkan pelanggan di kalangan golongan yang berada.

Menariknya, aktiviti perkelahan mereka disertai oleh seisi keluarga termasuklah anak-anak yang sudah besar sekaligus memberi pengajaran kepada anggota pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) supaya mengikut jejak langkah rakyat Iran yang sentiasa memupuk ikatan kekeluargaan.

Kehadiran kami juga menarik perhatian mereka sehingga di mana sahaja kami berhenti rehat pasti ada yang datang mengerumuni untuk bertanya khabar dan merakamkan gambar bersama.

Penat juga untuk melayan karenah rakyat Iran yang tetap mengajukan soalan dalam bahasa Parsi walaupun sedar kami tidak boleh memahaminya, tidak sebagaimana di China yang tidak akan bertanya lanjut apabila kami tidak dapat memahami bahasa yang mereka gunakan.

Kerana tetap diasak dengan pelbagai soalan, kami dengan selamba menjawabnya dalam bahasa Malaysia sehingga mereka juga terkebil-kebil tidak dapat memahaminya.

Hanya segelintir yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan kebanyakannya hanya boleh menyebut beberapa patah perkataan dan berusaha untuk berkomunikasi walaupun ia digunakan dalam konteks yang salah.

Bayangkan ada yang menyapa kami dengan terus menyebut 'Thank You, I love you ataupun Oh My God' sehingga kami tidak dapat menahan diri daripada ketawa di hadapan mereka.

Sementara itu, kami tiba di sini kira-kira pukul 5 petang dan terpaksa mengharungi lalu lintas yang amat sibuk di pusat bandar sebelum bertemu dengan Hasan, seorang rakyat tempatan yang bekerja di Kedutaan Malaysia yang kemudiannya menjadi penunjuk arah kami ke sebuah hotel.

"Kegilaan' budaya jalan raya di Tehran begitu ketara, pemandunya memecut walaupun jalan agak sesak manakala penunggang motosikal pula gemar menyelit sekiranya ada ruang tanpa memakai topi keledar.

Walaupun agak gusar dengan lalu lintas Tehran, kejayaan mengharunginya benar-benar mengundang kepuasan sehingga anggota pasukan EM1M berbangsa Kadazandusun, Maxwell Ripin berseloroh "kalau mat rempit Malaysia datang sini, mereka mesti 'menangis'".

Iran Iran
Iran Iran
Iran Iran

No comments:

Post a Comment