KAZANLAK (Bulgaria) 16 Ogos - Kelmarin, pasukan
Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) berehat sehari di Istanbul, Turki, khusus
untuk menyelami keindahan bandar yang menjadi 'magnet' penarik kehadiran
pelancong di republik berkenaan.
Menginap di sebuah hotel kecil berdekatan Dataran Sultan
Ahmed yang menempatkan Masjid Sultan Ahmed, kami dapat menyaksikan bagaimana
meriahnya Istanbul pada musim panas.
Masjid Sultan Ahmed dari tingkap hotel penginapan pasukan
EM1M di Istanbul,
Turki |
Bagaikan sudah tidak berada di Turki, kawasan berkenaan
dibanjiri pelancong daripada Eropah dan ia menjadi lubuk rezeki bagi peniaga
cenderamata dan makanan yang cenderung mengambil kesempatan jika pembeli tidak
menawarkan harga sehingga 50 peratus.
Matlamat kami pada hari berkenaan ialah mengunjungi
Kapalicarsi yang merupakan sebuah pasar berbumbung terbesar dan tertua di dunia
yang dibina antara 1455 hingga 1461.
Kapalicarsi yang yang mempunyai 58 jalan berbumbung serta
1,200 kedai dikatakan menerima 250,000 hingga 400,000 pengunjung sehari.
Kami dimaklumkan oleh seorang petugas Kedutaan Malaysia di
Ankara bahawa jeritan 'jualan murah, harga runtuh' akan kedengaran di sana
apabila peniaganya menyedari kehadiran rakyat Malaysia kerana mereka tahu
bagaimana pelancong dari negara kita berbelanja khususnya kaum wanita.
Bagaimanapun hasrat kami tidak kesampaian gara-gara
diberikan infiormasi salah oleh seorang petugas di stesen tram kononnya
Kapalicarsi ditutup pada hari Sabtu sedangkan ia sebenarnya ditutup pada setiap
Ahad.
Bagaimanapun, secara tidak sengaja sewaktu mundar-mandir
tanpa tujuan di Istanbul, kami sampai ke Eminonu yang mempunyai jeti feri untuk
menyusuri Selat Bosphorus yang mengubungkjan Laut Hitam dengan Laut Marmara.
Dengan bayaran 10 Lira setiap seorang (lebih RM20) kami
dibawa menysuri selat berkenaan kira-kira sejam termasuklah merentasi bahagian
bawah jambatan penghubung benua Asia dan Eropah yang kami lalui dengan
motosikal Kawasaki Versys 650, sehari sebelumnya.
Turut dikunjungi kami ialah masjid yang menjadi ikon
Istanbul iaitu Masjid Sultan Ahmed yang turut dikenali sebagai Masjid Biru
ekoran penggunaan jubin warna berkenaan pada dinding bahagian dalamnya.
Bagaimanapun, warna jubin masjid yang direka bentuk oleh
arkitek diraja, Sedefhar Mehmet Aga dan disiapkan pada 1616 itu sudah pudar dan
hilang seri kebiruannya dimamah usia.
Masjid dengan enam menara itu amat popular di kalangan
pelancong dan rakyat tempatan sehingga dataran di bahagian hadapannya menjadi
tempat bersantai dan berbuka puasa bersama keluarga.
Pelancong juga dibenar memasuki bahagian dewan sembahyang
namun bagi yang bukan beragama Islam, pergerakan mereka dihadkan di bahagian
belakang dewan sembahyang sahaja.
Masjid berkenaan benar-benar dikomersialkan untuk tujuan
pelancongan sehingga etika berpakaian dikalangan pengunjungnya amat longgar
jika dibandingkan dengan syarat mengunjungi masjid di kalangan pelancong bukan
beragama Islam di tanah air.
No comments:
Post a Comment