Maklumat dan sumbangan sila layari:


Monday, August 30, 2010

Jalur Gemilang 'berkibar' di autobahn Jerman

saiful haizan hasam

SAARBRUCKEN (Jerman) 29 Ogos - Penggunaan grafik Jalur Gemilang dalam keadaan berkibar yang menyaluti badan motosikal Kawasaki Versys 650 pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) mempunyai maksud tersendiri.

Selain menjadi identiti negara asal kami, grafik rekaan dan tajaan Zulkawa Merchandise itu merupakan simbolik kepada pengibaran Jalur Gemilang oleh setiap anggota pasukan EM1M sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, lusa.


Sehingga hari ini, Jalur Gemilang tersebut telah kami 'kibarkan' dengan penuh bangga di 16 buah negara merentasi pelbagai bentuk muka bumi dan cuaca.

View XPDC 1MALAYSIA in a larger map

Bagaimanapun semalam, kami mencatatkan sejarah peribadi apabila berjaya 'mengibarkan' Jalur Gemilang sejauh 350 kilometer (km) di autobahn-lebuh raya terpantas di dunia.

Sebenarnya sejak kelmarin lagi kami teringin menggunakan autobahn kerana teruja dengan keistimewaanya yang dikatakan tidak memiliki had laju namun ia dipendam kerana pelbagai kebimbangan.

Antara yang bermain di fikiran kami ialah kebimbangan mengenai had laju minimum, dikhuatiri pergerakan kami terlalu perlahan untuk berada di atas autobahn sehingga menganggu pengguna yang lain.

Rupa-rupanya, kebimbangan kami tidak berasas kerana had laju minimum di autobahn adalah 60 kilometer sejam (km/j) sedangkan kelajuan purata kami di mana-mana laluan sebelum ini  ialah 80km/j

Kami pantas menyesuaikan diri dengan autobahn walaupun pada mulanya agak gusar melihatkan kelajuan kenderaan lain khususnya kereta-kereta mewah yang memecut lebih 200km/j.

Berdasarkan pemerhatian, autobahn sebenanya bukanlah tidak mempunyai had laju langsung cuma peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan tertentu seperti di laluan dua lorong dengan had laju 120km/j manakala di kawasan kerja penyelengaraan jalan pula, had lajunya ialah 80km/j.

Walaupun bergerak laju, para penggunanya amat cekap selain menghormati antara satu sama lain apabila tidak memaksa pengguna yang lebih perlahan ke tepi dengan membunyikan hon atau menggunakan isyarat kerdipan lampu hadapan.

Mereka juga akur dengan pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti tidak berada di lorong paling kiri (lorong paling laju) sekiranya lorong kanan mempunyai kekosongan.

Selain itu, semua pengguna dilarang berhenti di tepi autobahn kecuali jika berlaku kerosakan, namun jika ia berpunca daripada masalah kehabisan minyak, pemandunya dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh di saman kerana ia berpunca daripada kealpaan sendiri.

Paling tegas ialah mana-mana pengguna yang menyebabkan kejadian yang membahayakan nyawa atau memusnahkan harta benda seperti kenderaan lain serta infrastruktur autobahn, mereka dianggap melakukan jenayah dan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.

Dengan peraturan sedemikian, para penggunanya mempunyai sikap bertanggungjawab walaupun bebas memecut selaju mungkin di kawasan yang dibenarkan.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 .

No comments:

Post a Comment