Maklumat dan sumbangan sila layari:


Wednesday, August 11, 2010

Hasrat berkhemah di kaki Gunung Ararat tidak kesampaian

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

DOGUBEYAZIT (Turki) 10 Ogos - Bagaimana mahu keluar dari Tabriz?

Itulah masalah yang dihadapi oleh pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) pagi semalam kerana peta yang dimuatkan dalam GPS tidak mempunyai perincian mengenai bandar ke empat terbesar di Iran itu.

Berbekalkan peta yang diperoleh daripada kaunter hotel tempat kami menginap, Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim menggunakan segala pengalaman navigasi yang dimilikinya untuk mencari jalan keluar menuju ke Maku.

Walaupun sedikit kelam kabut pada permulaannya, kami berjaya menemui jalan keluar sambil mencari stesen minyak kerana penanda aras petrol pada panel meter motosikal Kawasaki Versys yang digunakan pasukan EM1M mula berkelip-kelip.

Sebanyak empat buah stesen minyak kami singgahi namun semuanya menjual gas dengan barisan panjang kereta pelanggan yang menunggu giliran sehinggalah kami menemui sebuah stesen minyak yang menjual petrol di pinggir bandar Tabriz.

Memandangkan kami tiba di Maku agak awal iaitu kira-kira 3 petang, Azizi dengan saranan Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang membuat keputusan untuk terus memasuki Turki yang merupakan negara ke lapan dalam siri penjelajahan kami.

Di pintu sempadan Iran, kami sekali lagi berdepan masalah kerana tidak tahu kaunter mana yang harus dituju memandangkan tiada papan tanda dalam bahasa Inggeris selain tiada kakitangan pihak berkuasa yang sudi membantu.

'Ulat-ulat' mengerumuni menawarkan perkhidmatan termasuklah seorang pemuda yang fasih berbahasa Inggeris, Husin, yang berulang kali meyakinkan kami bahawa dia sebenarnya petugas kaunter informasi di situ.

Walaupun menolaknya dengan baik, kami akhirnya terpaksa menggunakan khidmat Husin untuk menjelaskan kepada petugas kaunter yang enggan mengecop pasport kami bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan visa sekiranya berada di Iran kurang daripada 14 hari.

Husin kemudiannya menyelesakan urusan mengecop 'carnet' yang merupakan permit import dan eskport sementara kenderaan dan dalam masa sejam setengah segalanya selesai.

Dengan berat hati, 'terbanglah; duit kami sebanyak USD40 ke tangan Husin walaupun pada mulanya dia meminta bayaran USD50 daripada setiap anggota pasukan EM1M.

Di sebelah pintu masuk Turki pula, suasananya amat berbeza kerana kami tidak lagi diganggu 'ulat' dan urusan mengecop pasport serta 'carnet' diselesaikan oleh kami sendiri dalam tempoh kira-kira 40 minit sahaja.

Rancangan asal kami ialah untuk bermalam di tapak perkhemahan di kaki Gunung Ararat  yang dikatakan tempat tersadainya bahtera Nabi  Noh dalam peristiwa banjir besar ribuan tahun dahulu.

Namun tapak perkhemahan yang dicadangkan oleh seorang pegawai imigresen Turki itu tidak kami temui dan akhirnya kami pula yang 'tersadai' di sebuah hotel di sini.

Turkey
Anggota pasukan EM1M bergambar di hadapan Gunung Ararat di Dogubeyazit, Turki.
Turkey
Gunung Ararat yang diselaputi salji pada bahagian puncaknya di Dogubeyazit, Turki
Turkey
Anggota pasukan EM1M bergambar bersama Mehmet, kanak-kanak pengembala kambing yang tinggal berdekatan kaki Gunung Ararat, di Dogubeyazit, Turki

Turkey
Bendera Malaysia dan 'sticker' EM1M dilekatkan pada cermin pintu masuk hotel penginapan pasukan EM1M sebagai tanda kehadiran anak Malaysia di Dogubeyazit,Turki



No comments:

Post a Comment