Maklumat dan sumbangan sila layari:


Wednesday, August 18, 2010

EM1M mulakan penjelajahan di Eropah Timur

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

BUCHAREST (Romania) 17 Ogos - Nyaris berlapar dan berkhemah di tepi jalan.

Semuanya gara-gara mata wang Euro yang disangka pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) boleh digunakan di semua negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Rupa-rupanya sangkaan berkenaan meleset kerana semua hotel yang kami singgahi di Kazanlak, sebuah bandar kecil yang terkenal dengan pati bunga ros di Bulgaria, petang kelmarin, hanya menerima mata wang tempatan, Leva.

Tempat tidur tidak menjadi masalah besar kerana berkhemah di tepi jalan bukannya perkara yang sukar tapi bagaimana pula dengan makanan dan minuman-itulah kebimbangan utama kami.

Pengurup wang pula tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu namun mujurlah terdapat sebuah hotel yang menerima kad kredit dan sebuah restoren yang menerima Euro, jika tidak pastinya kami terpaksa 'berpuasa' pada waktu malam.

Maklumat daripada seorang rakan di tanah air mendapati tidak semua negara EU menggunakan Euro kerana tahap ekonominya yang belum memberangsangkan dan perkara itu berlaku antaranya di Bulgaria, Romania dan Hungary.

Sementara itu, semalam kami memasuki negara EU kedua iaitu Romania melalui pintu masuk di Giurgiu tanpa sebarang masalah birokrasi walaupun Kawasaki Versys yang digunakan pasukan EM1M adalah kenderaan dari luar negara kesatuan berkenaan.

Perjalanan diteruskan ke Bucharest, ibu negara Romania yang agak lengang kerana cuti umum 'Virgin Mary' sekaligus membantu pasukan EM1M 'menawannya' tanpa sebarang masalah.

Bucharest merupakan sebuah bandar yang mempunyai banyak bangunan lama dengan seni bina Eropah Timur, cuma sayangnya ia tidak begitu terjaga.

Destinasi kami ialah kediaman Setiausaha Ketiga, Kedutaan Besar Malaysia di Romania, Paizah Affandi untuk berehat sebelum ke hotel yang telah ditempah oleh pihak kedutaan.

Bagaimanapun, Paizah dan suaminya, Mohd. Noor Ismail mencadangkan kami bermalam di rumahnya kerana harga bilik di hotel yang mempunyai kawasan letak kenderaan yang selamat di bandar ini agak mahal iaitu 100 Euro ke atas.

Sukar untuk kami menolak tawaran Paizah namun kerana tidak mahu mengganggu kehidupan berkeluarganya, kami memilih untuk bermalam  di rumah Ketua Canseri, Akmal Che Mustafa.

Bantuan daripada Akmal dan Paizah untuk membantu misi EM1M membuatkan kami terharu dan segala pertolongan yang dihulurkan mereka, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Romania
Pasukan EM1M bersama Akmal Che Mustafa (tiga dari kanan), Mohd. Noor Ismail
(kiri) dan Paizah Affandi di Bucharest, Romania.

Romania Romania Romania
Romania Romania Romania
Pemandangan di Bucharest, Romania

Romania Romania
Pasukan EM1M sewaktu menuju ke Bucharest, Romania.

1 comment:

  1. salam en. mazlani
    thx sebab upload this story n picture nie..actually saya dah lama mencari Mohd. Noor Ismail...his my coach at Uitm Melaka dulu..lame cari dia..do you have any info or detail or contact him?if u have...can u send at my email
    mohammad.fariq@yhaoo.com
    tq sir.

    ReplyDelete