saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my
REIMS 30 Ogos - Tinggal 436 kilometer (km) sahaja lagi untuk pasukan
Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) menamatkan perjalanan di London, United Kingdom (UK).
Terawal meraikan pencapaian pasukan EM1M menghampiri 'garisan penamat',
semalam, ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal
yang sanggup berkereta selama sejam setengah daripada Paris ke sini.
Beliau juga tidak menghadiri perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di
Stadium Pierre de Coubertin, Paris yang membabitkan beregu negara, Koo Kien Keat dan
Tan Boon Heong dan mewakilkannya kehadirannya kepada Penasihat Pertahanan, Kapten
Ismail Abdullah.
Segala-galanya dilakukan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu
demi meraikan semangat 1Malaysia dan semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan
yang kami bawa daripada tanah air merentasi 17 negara setakat hari ini.
Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, beliau berkata seluruh warga kedutaan
kagum dan bangga melihat keupayaan sekumpulan anak Malaysia yang berjaya melakukan
ekspedisi bermotosikal sehingga selamat tiba di Perancis.
Katanya, pencapaian pasukan EM1M membuktikan bahawa tiada yang mustahil
dicapai anak Malaysia sekiranya ada kesungguhan dan perancangan rapi.
"Pengalaman yang dikutip sepanjang dua bulan berekspedisi wajar
dibukukan untuk merangsang motivasi masyarakat khususnya generasi muda.
"Saya berharap pasukan EM1M dikekalkan pada tahun mendatang, jika tidak
melakukan ekspedisi sekalipun ia boleh dimanfaatkan untuk projek-projek amal yang
lain," katanya.
Dalam pertemuan berkenaan, Abdul Aziz turut menyerahkan sumbangan wang tunai
250 Euro yang dikutip di kalangan warga kedutaan untuk disalurkan kepada dana
penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) yang
dipromosikan pasukan EM1M.
Mengiringi Abdul Aziz dalam pertemuan itu ialah Penasihat Kedutaan, Adlan
Mohd. Shaffieq; Penasihat (Pendidikan dan Latihan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),
Mohd. Faris Jazlan Ramli; Pengarah Tourism Malaysia di Perancis, Jeffry Munir;
Penolong Penasihat Pertahanan, Mejar Mohammad Fadzilah Salleh dan Pembantu Khas Abdul
Aziz, Fuad Hussain.
Mereka juga amat prihatin dengan kebajikan pasukan EM1M apabila membekalkan
kami dengan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.
Selepas Abdul Aziz dan rombongannya bersurai untuk kembali ke Paris, Adlan
yang banyak membantu urusan lojistik pasukan EM1M bermula Mac lalu meluangkan
masanya untuk terus bersama kami membincangkan tentang hobi bermotosikal.
Paling gembira ialah Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang kerana
hasratnya untuk bertemu dengan kakitangan Kedutaan Malaysia yang menunggang motosikal berkuasa besar menjadi reliati.
Istimewanya, motosikal Yamaha Fazer 1000 milik Adlan merupakan satu-satunya motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik di Perancis.
Sementara itu, pagi ini pasukan EM1M menuju ke Calais dan sekiranya masa
mengizinkan akan terus menyeberangi Selat inggeris ke Dover, UK, sebelum menyertai
upacara menaikkan Jalur Gemilang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, pagi
esok.
EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi
mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief
Malaysia(IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari
www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.