Maklumat dan sumbangan sila layari:


Tuesday, July 20, 2010

Dari Keyboard 1M-CAH: Mohan ke Hongyuan - Selatan ke Tengah CHINA

"Luas! Memang luas negara China ini." Itulah yang dapat saya rumuskan. Bayangkanlah pula betapa luasnya negara Rusia yang mempunyai 8 zon waktu?????

Tanggal 04 Julai 2010, di Mohan Port pintu sempadan Laos-China. 2 warga tempatan, Micheal dan Liew bersama Toyota Prado telah bersedia meneruskan tugasan mereka untuk mengekori dan menguruskan kami dari pintu masuk hingga ke pintu keluar negara China. Undang-undang wajib yang perlu dipatuhi oleh kami. Pastinya bayaran yang "lumayan" mesti dilangsaikan.

Jam 5.30 petang, teruskan perjalanan ke bandar Mengla. 60km dari sempadan. Fuhhh.... jalannya cantik detik hati ini. Hotel juga telah siap ditempah dan menepati citarasa. Sessi suaikenal bersama mereka pada malamnya.

Jam 7.30 pagi keesokkannya, telah tersedia kami di Balai Polis Trafik Mengla untuk pemeriksaan kenderaan, pengambilan lesen memandu dan no pendaftaran kenderaan negara China. Namaku telah bertukar kepada HASHIMU dan motorku bernomborkan K 00075.

Teruskan ke destinasi pertama ke Mojiang. Laluan nyaman dan berbukit serta berbelas terowong ke Jinghong kami susuri. Mimpi indah sejauh 80km mula bertukar menjadi ngeri setibanya di Jinghong. Penggunaan lebuhraya diharamkan kepada motosikal. Laluan nasional kami gunakan. Lopak beserta batu kerikil menanti kami. Pilu hati ini bila melihatkan keindahan lebuhraya mereka yang selari dengan jalan kami tidak dapat digunakan oleh kami. Hampir 10 jam di ambil bagi jarak 300km.

Kejutan buat kami oleh salam pengenalan dari Negara China ini kepada kami.

Bandaraya Kunming menjadi destinasi berikut. Konsul Muda di Konsulat Malaysia telah kami maklumkan. Kami jangkakan akan sampai pada waktu malam, namun disangkal olehnya. Kami akur. Pastinya jalanrayanya sudah menarik.

Oh tidak! Lopak dan selut setia menanti kami di celah-celah pergunungan. Jalan yang tidak berturap, lopak, kerikil dan segalanya tidak perlu saya huraikan. Hujan juga menemani kami dikala ini.

Harga mangga yang tidak masuk akal, kami jadikan buah tangan untuk pegawai dan staf Konsulat.
Jam 8 malam masih mengelak lubang dan kerikil. 80km dari destinasi, penunjuk arah kami masih merangkak di dalam kesesakan lalulintas. Ayuh...tiada masa untuk menunggu mereka. Masukkan nama lokasi di GPS - Sakura Hotel. Arrggghhh! Tiada dalam memorinya.

Teksi dibayar sebagai penunjuk arah ke destinasi. Jam 10 malam, Konsul Muda - Sdr Sarizal Ramli tersenyum riang menyambut kami di Kunming.

Badan dan minda telah direhatkan pada malamnya. Jam 11 pagi tepat kami telah berada di Pejabat Konsulat bersama Konsul Malaysia di Kunming - Tuan Roseli Abdul. Bertukar cerita dan pengalaman. Persoalan pintu keluar kami dari negara China juga diketengahkan. Gambar kenangan sempat diambil.

Jam 12.30 tengahari, santapan tengahari dijamukan di restoran muslim berdekatan. Pertama kali mendapatkan makan tengahari yang sempurna semenjak meninggalkan Sri Utusan, Bangi. Jutaan terimakasih ucapan dari kami.

Jentera kami perlu dimandi begitu juga dengan urat-uratan kami. Pusat rawatan orang buta berdekatan kami lawati. Jasa Konsul Muda sekali lagi kami hargai. Tak lain tak bukan, Sdr Sarizal Ramli.

Tanggal 8 Julai, tepat jam 8 pagi. Doa dibacakan oleh Atase Immigresen - Hj Azmi Jusoh.
Sempat bergambar kenangan bersama warga Konsulat dan Jalur Gemilang dikibarkan tanda kami wajib meneruskan perjalanan ini. Panzhihua tempat kami tujui.
Permulaan yang "bagus" didalam kesesakan trafik di bandaraya Kunming. Hampir 1 jam masa di ambil. Tanah merah dan kerikil menanti kami.

Syukur..... ianya sekadar mengacah kami. Laluan sempurna kami susuri di paras ketinggian 8000 kaki. Ladang kobis, bawang, jagung, epal menemani kami namun perut kami tetap menyanyi. Walaupun cuacanya nyaman sekali.

Nasi goreng ayam bekalan dari isteri Konsulat - Puan Khadijah Kok Abdullah kami nikmati di tepian jalan yang kami lalui. Walaupun baginya tiadalah ertinya, tapi bagi kami lazatnya tiada terperi. Terimakasih daun keladi. Jam 8 malam kami tiba destinasi.

Jam 8 pagi, destinasi seterusnya adalah Mianning. Jaraknya kurang dari 350km. Cobaan untuk kami berterusan. Tidak layak untuk dinamakan jalan.

Syukur..... bila saya perhatikan, kami semua telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan jalan nasional di China ini. Kami semua sudah sebati dengan jentera dan keadaan jalanrayanya. 10 jam diperjalanan adalah masa wajib bagi jarak tersebut. Kami tetap ceria. Malamnya diteruskan dengan perbincangan.

Destinasi ditukar untuk mengelakkan dari bandar besar. Chengdu kami alihkan ke Danba - bandar kecil yang berada di latitud yang sama dengan Chengdu.

Sungai Yangtze kami susuri. Seperti kebiasaan, lopak, kerikil dan tanah merah mengiringi kami bersama. Tidak ketinggalan kejadian tanah runtuh.

Kenderaan berat adalah raja dijalanraya disini. Penunggang motosikal hanyalah seumpama semut. Kawasan larangan memotong tidak dihiraukan. Etika pemanduan diketepikan oleh pemandu tempatan. Tetapi saya hormati atas sikap toleransi mereka jika dibandingkan dengan etika pemanduan di Malaysia.

Tapi, sepandai-pandai tupai melompat.... akhirnya dua buah lori 12 tayar bertembung secara berdepan berhampiran badar Shimian. Pastinya kedua-dua pemandu telah menamatkan riwayat mereka di situ juga bila saya mengamati kenderaan tersebut.

Danba - daerah yang dibanjiri oleh bangsa Tibet kami singgahi.

"Lebih baik tiada brek daripada tiada hon!" itulah ayat seloroh bila memandu di negara China. Jom kita tinggalkan Danba menuju ke Hongyuan. Pelbagai projek mega dapat kami lihat sepanjang berada di wilayah Yunnan dan Sichuan. Kagum melihatkan skala projek-projek ini.

Laluan yang enak dan selesa di paras 8500 kaki hanyalah untuk sementara.

Tidak termampu untuk saya menghuraikan betapa teruknya keadaan jalan seterusnya ketika kami mendaki ke arah destinasi. Laluan sebegini tidak pernah saya temui sepanjang saya berkecimpung dalam dunia bermotorsikal.

Mencabar? Memang cukup mencabar kami. Paras ketinggian yang mencecah 14'338 kaki disamping kekurangan oksigen menambahkan lagi cabaran. Mujurlah pada ketingiian 8500 kaki saya telah memaksa 1M-SHH, CCK, MBR dan diri saya untuk mengambil ubatan CIALIS bagi merancakkan pengaliran darah di badan yang telah dicadangkan oleh Sdr Thomas Foo semasa pertemuan saya dengan beliau seminggu sebelum kami berlepas dari Kuala Lumpur.

Hongyuan - kawasan yang sensitif dan dikawal ketat oleh tentera berada di ketinggian 13'400 kaki dari aras laut dilingkungi oleh padang ragut yang luas.

Yak, kuda dan biri-biri adalah peneman setia padang ragut tersebut. Bersuhu dalam lingkungan 10 darjah celcius cukup untuk memberi kenyamanan tanpa memerlukan penghawa dingin atau pemanas.

Paras ketinggian dari 2'000 kaki hingga ke 14'338 kaki kami redahi dari Selatan hingga ke Tengah negara China. Dari suhu tropika ke suhu mediterenean dan suhu sejuk kami alami. Perubahan alam semulajadi dapat dilihat. Dari hutan tropika ke padang rumput. Pembangunan dilihat amat pesat di kawasan ini. Lingkaran lebuhraya memang tiada noktahnya. Untung bagi pengguna kenderaan 4 tayar ke atas tetapi nilai tol nya amat tinggi. Harga minyak antara RMB6.20 - RMB6.60 (RM3.10-RM3.30) seliter.

Bersambung....

Wassalam
Ketua Xpedisi
Urumqi, Xinjiang
CHINA

No comments:

Post a Comment