Maklumat dan sumbangan sila layari:


Tuesday, June 1, 2010

PROMOSI MEMBANTU ANAK YATIM BERTERUSAN SEHINGGA 15 OKTOBER 2010

Utusan Malaysia bertarikh 31 Mei 2010:
90% SIAP WALAUPUN DANA MEMBANTU ANAK YATIM BELUM CUKUP
KUALA LUMPUR 30 Mei - Semangat peserta Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) yang akan berlepas pada 1 Julai ini berada pada tahap tinggi walaupun kutipan dana amal yang dipromosikan mereka belum memberangsangkan.


Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim berkata, pada masa ini persiapan EM1M yang disertai lima penunggang motosikal berkuasa tinggi pula hampir 90 peratus siap.


Katanya, jadual laluan asal iaitu dari Kuala Lumpur ke London melalui China membabitkan jarak perjalanan darat sejauh 22,000 kilometer merentasi 18 buah negara juga tidak berubah.


"Kami mahu menyahut saranan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, caranya kami akan bantu dengan 'menjual' nama baik negara di pentas antarabangsa, inilah yang menjadi penguat semangat kami.


"Pada masa yang sama, kita turut mempromosikan kutipan dana bagi menubuhkan perpustakaan di rumah anak yatim yang merupakan inisiatif Islamic Relief Malaysia (IRM)," katanya di sini hari ini.


EM1M yang merupakan program kembara lasak bermotosikal bagi memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dan meraikan semangat 1Malaysia itu disertai peserta Melayu, Cina, India dan Kadazandusun.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan Penaung Kehormat EM1M manakala akhbar Utusan Malaysia pula merupakan rakan media yang akan melaporkan pergerakan harian ekspedisi.


Mengulas mengenai kutipan dana semasa, Azizi berkata, pihaknya akan terus membuat promosi untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.


Katanya, selain laporan akhbar, sekretariat EM1M turut melakukan promosi melalui blog rasmi dan laman sosial Facebook.


"Alhamdulillah, walaupun belum memberangsangkan, ia mula menunjukkan hasil. Kerajaan Negeri Sembilan umpamanya muncul sebagai penyumbang dana terbesar sebanyak RM50,000,'' katanya.


Ujarnya, bagi membolehkan lebih ramai tampil menyumbang, promosi kutipan dana oleh IRM akan terus dipergiatkan sehingga peserta ekspedisi kembali ke tanah air pada awal September ini.


"Kami akan terus mengadakan promosi untuk menarik lebih banyak sumbangan," katanya.


Untuk menderma secara online, layari www.irm.org.my manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 atau Rizqi Saladin 019-3322161 dan dengan melayari xpdc1malaysia.blogspot.com, Facebook di Ekspedisi Merdeka Kl-London dan e-mel xpdc1malaysia@gmail.com.




Wassalam
Ketua Xpedisi
KUALA LUMPUR

No comments:

Post a Comment