Maklumat dan sumbangan sila layari:


Friday, June 25, 2010

Penganjur Sabah Bike Fest 2009 serah sumbangan kepada EM1M





KUALA LUMPUR 23 Jun - Misi pengumpulan dana untuk menubuhkan perpustakaan di rumah anak yatim oleh peserta Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) turut mendapat perhatian penganjur Sabah Bike Fest 2009.

Sumbangan yang disalurkan mereka merupakan dana terkumpul daripada aktiviti membasuh motosikal sambil menderma yang diadakan bersempena Sabah Bike Fest 2009 di Tanjung Aru, Kota Kinabalu hujung tahun lalu.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya, John Lee berkata, melalui acara membasuh motosikal dengan tajaan kelengkapan oleh Alpha Bike Centre itu, pihaknya berjaya mengumpul RM2,000.

"Setiap motosikal yang dibasuh dikenakan bayaran minimum RM10 namun ramai juga yang bermurah hati membayar lebih kerana mereka tahu kami akan menyalurkannya pada golongan yang memerlukan.

"Selepas membuat pertimbangan, kami memilih menyalurkan dana RM2,000 ini kepada projek penubuhan perpustakaan oleh EM1M sekali gus merapatkan hubungan persahabatan peminat motosikal di Semenanjung dan Borneo," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

EM1M yang merupakan program kembara lasak bermotosikal dari Kuala Lumpur ke London bermula 1 Julai ini disertai oleh lima peserta berbangsa Melayu, Cina, India dan Kadazandusun.


Selain memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dan meraikan semangat 1Malaysia, mereka turut menjalinkan kerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah-rumah anak yatim terpilih.


Mengenai Sabah Bike Fest 2009, John berkata, acara berkenaan dihadiri lebih 400 peminat motosikal dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei.


Katanya, ia dianjurkan dengan kerjasama forum pemotoran Kakimoto Dot Com (KMDC) yang boleh dilayari di www.kmdcbikers.com.


"Sabah Bike Fest 2009 adalah acara kali pertama diadakan dan kami merancang menjadikannya sebagai acara tahunan kerana ia mempunyai pelbagai potensi termasuk merancakkan industri pelancongan negara," katanya.


Untuk menderma secara online, layari www.irm.org.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 atau melayari xpdc1malaysia.blogspot.com.

 
Wassalam
Ketua Xpedisi
KUALA LUMPUR

No comments:

Post a Comment