Maklumat dan sumbangan sila layari:


Sunday, June 27, 2010

EM1M ubah laluan kerana bimbang tercetusnya keganasan di Kyrgystan

Mingguan Malaysia dated on 27 July 2010

EM1M ubah laluan kerana bimbang tercetusnya keganasan di Kyrgystan


KUALA LUMPUR 26 Jun - Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) terpaksa mengubah laluan perjalanan mereka dengan tidak memasuki Kyrgystan ekoran kebimbangan tercetusnya keganasan baru di selatan negara berkenaan.


Ketua EM1M, Kapten Azizi Hashim berkata, dengan perubahan itu pasukan ekspedisi akan memasuki Kazakhstan dari China sebelum meneruskan perjalanan ke London melalui Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki dan benua Eropah.

"Berikutan keadaan yang tidak stabil di Kyrgystan baru-baru ini, saya membuat keputusan untuk tidak memasuki negara berkenaan dan langkah itu dipersetujui oleh Wisma Putra.


"Pada permulaannya kami memilih Kyrgystan kerana mahu menikmati keindahan laluan pergunungannya tapi apa boleh buat, faktor keselamatan tidak sesekali boleh dikompromi dalam pengembaraan sebegini," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.


Dalam perbalahan etnik Kyrgyz dan Uzbek baru-baru ini di bandar Osh dan Jalalabad, dianggarkan hampir 2,000 orang terkorban manakala lebih 1,800 mengalami kecederaan.

EM1M yang merupakan penjelajahan bermotosikal dari Kuala Lumpur ke London merentasi 17 buah negara bermula 1 Julai ini bertujuan memeriahkan ulang tahun sambutan kemerdekaan negara dan meraikan semangat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Pada masa yang sama, mereka turut menjalinkan kerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim.

Dalam pada itu, Azizi turut mengumumkan penarikan diri seorang peserta EM1M iaitu Damian Chellathurai Williams disebabkan oleh faktor di luar kawalan, menjadikan jumlah anggota ekspedisi menjadi empat orang.


Katanya, pasukan EM1M juga tidak mencari pengganti Damian bagi mengisi slot peserta berbangsa India berikutan kesuntukan masa untuk menguruskan dokumen perjalanan.


"Perkara ini berada di luar kawalan kami dan ia langsung tidak menejaskan semangat peserta EM1M untuk mengharungi perjalanan mencabar kelak.


"Saya bersama anggota ekspedisi yang lain iaitu Saiful Haizan Hasam, Chua Chern Kwang dan Maxwell Ripin akan melakukan yang terbaik untuk mempromosikan gagasan 1Malaysia di pentas antarabangsa," katanya.


Untuk menderma secara online kepada dana penubuhan perpustakaan yang dipromosikan EM1M, layari www.irm.org.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 atau dengan melayari xpdc1malaysia.blogspot.com.



Wassalam
Ketua Xpedisi
KUALA LUMPUR

No comments:

Post a Comment