LONDON (United Kingdom) 1 Sept. - Lagu Negaraku yang
berkumandang pagi semalam di Rumah Malaysia yang merupakan kediaman rasmi
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, di sini, cukup bermakna.
Ia menandakan berakhirnya Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M)
yang dilepaskan Menteri Pertahanan merangkap Penaung Kehormat EM1M, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Sri Utusan, Bandar Baru Bangi pada 1
Julai lalu.
Sambil mengalunkan bait-bait Negaraku dan lagu Jalur
Gemilang, segala cabaran dan suka duka yang kami kutip di sepanjang perjalanan
sejauh 20,941km merentasi 18 buah negara bermain di kotak fikiran
kami.
Saat kemuncak bagi kami ialah apabila melihat Jalur Gemilang
yang dinaikkan Staff Pembantu Penasihat Pertahanan, Staff Sarjan Ramlan Idrus
berkibar megah di ruang udara London sebaik sahaja lagu Negaraku berakhir.
Pasukan EM1M bersama Zakaria Sulong (tengah) di Rumah Malaysia, London, UK |
Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang dibacakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United
Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong benar-benar 'melekat' di minda kami.
Perutusan bertajuk '1Malaysia Menjana Tranformasi Negara'
dirasakan amat dekat dengan hati kami yang berpeluang mengalami sendiri
kelebihan 1Malaysia melalui komposisi peserta EM1M yang berbilang bangsa.
Dengan semangat 1Malaysia jugalah, kami bersatu hati tanpa
memikirkan perbezaan kaum sehingga berjaya tiba di London menggunakan jalan
darat bersama Kawasaki Versys 650 dalam masa 62 hari.
Pesanan Najib supaya semua rakyat berganding bahu dengan
satu tekad kerana yang menghadkan kejayaan ialah kesanggupan untuk bekerja
keras dapat kami rasakan kebenarannya kerana pasukan EM1M dianggotai oleh
penunggang yang langsung tidak mempunyai pengalaman melakukan ekspedisi pada
skala yang besar.
Namun dengan formula bersatu hati, melakukan persiapan
terbaik dan sanggup bekerja keras, kami berjaya menyempurnakan misi EM1M
walaupun sebelum ini ramai yang skeptikal dengan kemampuan kami.
Menyertai kami menghayati perutusan berkenaan dalam
kedinginan cuaca London ialah isteri Zakaria, Datin Hazizah Ahmad, ketua-ketua
jabatan dan rakyat Malaysia yang menetap dan menjalankan perniagaan di sini.
Dalam ucapannya selepas itu, Zakaria mengalu-alukan
kehadiran kami yang disifatkannya sebagai wira negara - satu penghormatan yang
kami rasakan terlalu besar untuk diberikan kepada pasukan EM1M.
Pada kami sesiapa sahaja boleh melakukan ekspedisi sebegini
asalkan mereka melakukan perancangan yang baik kerana ia merupakan kunci
kejayaan dan sesiapa yang gagal merancang, mereka sebenarnya merancang satu
kegagalan untuk diri sendiri.
Sejurus majlis berakhir, kami meluangkan masa untuk
bersiar-siar di pusat bandar London dengan harapan untuk merakamkan kenangan
bersama Kawasaki Versys 650 di beberapa lokasi yang menjadi ikon bandaraya
berkenaan seperti London Bridge, London Eye dan Trafalgar Square namun ia tidak
kesampaian kerana kenderaan tidak dibenarkan berhenti di tepi jalan.
Bagaimanapun, ia merupakan satu pengalaman yang amat
berharga apabila dapat melihat reaksi penduduk tempatan yang bercakap sesama
sendiri dan melihat kami dengan pandangan yang tidak percaya bahawa pasukan
EM1M tiba di sini menggunakan motosikal.
Malaysia Boleh! dan salam kemerdekaan daripada pasukan EM1M
di London.
Berbangga dengan pencapaian tuan-tuan semua...dimana ada kemahuan...di situ ada jalan...
ReplyDeleteTahniah buat wira Malaysia dan kebanggaan buat warga Transmile Ops Subang
ReplyDelete