Maklumat dan sumbangan sila layari:


Monday, September 6, 2010

EM1M tidak berakhir - Azizi

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my


Para peserta EM1M (dari kiri) Maxwell Ripin, Saiful
Haizan Hasam, Chua Chern Kwang dan Kapten Azizi
Hashim menunjukkan isyarat  bagus setibanya di KLIA,
Sepang, semalam. - Utusan/HANAFI KHAMIS

SEPANG 5 Sept. - Misi Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) tidak akan berakhir sebaliknya diteruskan pada masa akan datang dengan program dan pendekatan yang berbeza.

Ketua Ekspedisi EM1M, Kapten Azizi Hashim berkata, pendekatan EM1M pada masa akan datang mungkin agak berbeza tetapi ia tidak akan lari daripada objektif iaitu membuat kerja-kerja amal.

Beliau berkata, dalam masa dua tahun akan datang destinasi konvoi menggunakan motosikal berkuasa besar akan berubah ke tempat lain dan tidak ke London lagi untuk meneruskan jenama EM1M dalam mempromosikan negara.

"EM1M bukan sahaja mempromosikan Malaysia di setiap negara yang dilalui tetapi sebagai satu kelainan yang perlu ditonjolkan untuk memastikan tanggungjawab sosial membantu golongan yang memerlukan diteruskan.

"Pada masa akan datang, peluang akan diberikan kepada peserta lain dalam memberi peluang menjalankan tugas murni ini bagi memastikan EM1M tidak berhenti setakat di sini sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan pulang peserta EM1M dan berbuka puasa anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Penasihat Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Islamic Relief (IR) World Wide, Zawahir Che Abdullah.

Selain Azizi, EM1M itu dianggotai oleh Saiful Haizan Hasam (wartawan eksekutif Utusan Malaysia), Chua Chern Kwang dan Maxwell Ripin dengan menunggang motosikal Kawasaki Versys 650.

Antara negara dijelajahi konvoi itu adalah Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Austria, Switzerland, Itali, Jerman, Perancis dan United Kingdom

Perjalanan bermula 1 Julai hingga 31 Ogos itu dari Kuala Lumpur ke London itu mengambil masa selama 62 hari membabitkan perjalanan sejauh 20,941 kilometer (km) dengan merentasi 18 buah negara.

Sementara itu Zawahir berkata, selain mempromosikan negara, EM1M turut membuat amal bakti dengan mempromosikan kutipan dana untuk disalurkan kepada IRM yang akan menguruskan penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim.

Beliau berkata, program konvoi itu telah berjaya mengumpulkan dana untuk penubuhan tiga buah perpustakaan anak yatim dalam usaha melengkapkan bahan ilmu kepada golongan yang tidak bernasib baik itu.

"Selain buku mata pelajaran utama, bahan ilmiah lain seperti novel bahasa Inggeris, buku cerita dan bahan bacaan tambahan diletakkan di setiap perpustakaan ditubuhkan

"Sehingga kini, kita telah berjaya menubuhkan 10 perpustakaan untuk anak yatim di seluruh negara," katanya.

1 comment: