Maklumat dan sumbangan sila layari:


Friday, September 3, 2010

EM1M: Kejayaan seluruh rakyat Malaysia

saiful haizan hasam

LONDON (United Kingdom) 2 Ogos - Kejayaan seluruh rakyat Malaysia!

Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) tidak menganggap kejayaan mengharungi perjalanan darat menggunakan motosikal Kawasaki Versys 650 dari Kuala Lumpur ke London dalam masa 62 hari sebagai kejayaan peribadi.

Ia kerana kami menyedari bahawa tanpa sokongan dan iringan doa rakyat Malaysia, pastinya pasukan EM1M akan berdepan seribu satu macam kesulitan dalam perjalanan sejauh 20,941 kilometer (km) ke sini.

Dapat kami rasakan banyak doa  telah dimakbulkan tuhan sehingga perjalanan kami amat lancar tanpa sebarang masalah sewaktu melintasi sempadan negara selain tiada kejadian yang tidak diingini mahupun masalah teknikal pada motosikal yang digunakan.

Penglibatan dan sokongan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd., Kawasaki Motors (M) Sdn, Bhd., Givi Asia Sdn. Bhd., Malaysian Airlines System Bhd. (MAS)  dan Islamic Relief Malaysia (IRM) juga banyak membantu pasukan EM1M sejak peringkat perancangan seawal Jun tahun lalu.

Tidak mudah untuk mendapatkan kepercayaan kerana EM1M bukannya pasukan ekspedisi yang mempunyai nama besar dan kami juga langsung tidak mempunyai pengalaman namun mereka meletakkan keyakinan atas semangat 1Malaysia yang kami julang.

Walaupun EM1M merupakan inisiatif persendirian dengan sokongan swasta, pihak kerajaan juga turut memberikan sokongan melalui Wisma Putra yang membantu dan membimbing kami dalam urusan diplomatik.

Pelbagai kesukaran ditempuhi sejak peringkat perancangan lagi, namun sewaktu benteng pertahanan mental hampir roboh, kami mendapat suntikan semangat apabila ada pihak yang tampil menyumbang kepada dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh IRM yang kami promosikan.

Paling signifikan ialah kesediaan Kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Pertahanan yang juga Penaung Kehormat EM1M, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menaja penubuhan perpustakaan yang setiap satunya membabitkan kos  RM50,000.

Selain itu, beberapa syarikat dan organisasi kecil tetapi berjiwa besar antaranya NJ Farms Sdn. Bhd., Alfa Wealth Solutions, Sunvay Cycle, Mega Auto Sdn. Bhd., Mail Boxes Etc, Sabah Bike Fest 2009, Perfect Know-How Sdn. Bhd. dan www.superbikemalaysia.com turut sama menghulurkan sumbangan.

IRM turut melancarkan kutipan secara online dan jumlahnya sehingga hari ini masih belum kami ketahui, bagi pasukan EM1M, kecil atau besar sumbangan terkumpul bukannya persoalan utama kerana yang lebih penting ialah keikhlasan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Memandangkan EM1M adalah milik rakyat Malaysia, kami juga merancang untuk mendokumentasikan pengalaman yang ditempuhi sepanjang ekspedisi untuk dikongsi masyarakat.

Semoga ia dapat memupuk minat generasi muda untuk meneruskan legasi Malaysia Boleh selain memberi panduan kepada rakan-rakan penunggang motosikal lain sekiranya mereka mahu melakukan ekspedisi yang sama ke luar negara.
Untuk menyumbang kepada dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh IRM, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 manakala untuk mendapatkan baju-T EM1M edisi terhad, layari www.superyan.net atau hubungi Ahmad Shahiran di 016-5270969.
Kejayaan pasukan EM1M membuktikan bahawa ketiadaan pengalaman bukannya satu penghalang untuk kita mara ke hadapan, namun harus dingatkan bahawa tiada jalan pintas ke arah itu.
Pahit manis pengalaman yang kami tempuhi di sepanjang perjalanan membuatkan kami amat bersyukur untuk menjadi rakyat Malaysia, justeru pertahankanlah apa yang dianugerahkan Allah kepada kita.
Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim

Saya terasa bagaikan bermimpi kerana berjaya tiba di London dengan menaiki motosikal kerana ia adalah impian saya sejak melibatkan diri secara serius dalam dunia pemotoran 30 tahun lalu.
Walaupun kehilangan pendapatan kerana meninggalkan Sunvay Cycle untuk tempoh dua bulan, saya tidak menggapnya sebagai satu kerugian kerana pengalaman yang diperoleh tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Chua Chern Kwang

Sebagai peserta termuda dalam pasukan EM1M, terlalu banyak ilmu bermanfaat yang saya pelajari di sepanjang ekspedisi ini dan ia akan saya jadikan panduan dalam kehidupan.
EM1M banyak mengubah cara pemikiran saya supaya tidak cepat mengalah sekiranya berdepan dengan masalah kerana setiap permasalahan yang timbul pastinya ada jalan keluar.
Maxwell Ripin

EM1M merupakan satu pengalaman yang paling mahal dalam kehidupan saya, baik dari sudut peribadi mahupun kerjaya sebagai wartawan kerana diuji dengan pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan.
Saya bangga kerana berpeluang mendokumentasikan perjalanan bersejarah pasukan EM1M dan menjadi sebahagian daripada mereka.
Saiful Haizan Hasam

1 comment: