Maklumat dan sumbangan sila layari:


Sunday, September 19, 2010

Cabaran EM1M di sempadan

Mingguan Malaysia dated on  19 Sept 2010:

Cabaran EM1M di sempadan


Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my


SEBANYAK 18 buah negara telah dijelajahi pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) dalam tempoh 62 hari bermula 1 Julai hingga 31 Ogos lalu.

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke London itu, kami perlu berurusan dengan petugas imigresen dan agensi berkuasa berkaitan di pintu masuk negara asing sebanyak 12 kali.

Bagi anggota pasukan EM1M, hari menyeberangi sempadan negara merupakan hari yang paling mendebarkan kerana kami tidak tahu apa yang bakal berlaku.

Bagaimanapun apabila kemasukan kami diluluskan, ia menjadi hari yang paling menggembirakan kerana ia bermakna kami mara ke hadapan walaupun bakal diuji dengan cabaran baru.

Pelbagai pengalaman kami tempuhi sewaktu menguruskan prosedur memasuki negara asing, adakalanya proses yang mudah menjadi sukar gara-gara masalah komunikasi, namun apa pilihan yang kami ada?

Apapun ia merupakan pengalaman yang menarik kerana berpeluang melihat perbezaan undang-undang imigresen dan prosedur kemasukan di setiap negara.

Di China umpamanya, pasukan EM1M menyaksikan bagaimana ketatnya republik yang padat dengan penduduk itu mengawal penyebaran penyakit di pintu sempadan Mohan Port.

Semua kenderaan akan disembur secara automatik dengan sejenis cecair sewaktu melalui laluan khas dan bagi motosikal Kawasaki Versys 650 kami, semburan dilakukan secara manual pada bahagian tayar dan bawah motosikal.

Semua penunggang juga perlu menolak motosikal masing-masing sejauh 30 meter dengan enjin dimatikan untuk melintasi pos pengawal sempadan.

Pelbagai syarat lain dikenakan kepada kami, seperti perlu mendapatkan permit masuk ke setiap wilayah yang ingin dilalui selain diwajibkan memiliki lesen memandu dan nombor pendaftaran kenderaan sementara China.

Semua permohonan untuk mendapatkan dokumen berkenaan perlu dibuat melalui agensi pelancongan dan permohonan secara individu tidak akan dilayan.

Proses keluar dari China di sempadan Kazakhstan mengambil masa hampir sehari suntuk dengan dokumen yang diperlukan hampir seinci setengah ketebalannya.

Memasuki Kazakhstan, kami dikejutkan dengan layanan mesra petugas di sempadan walaupun sebelum itu kami dijerkah oleh seorang anggota tentera kerana menggunakan laluan yang salah.

Mereka juga membantu dengan membawa kami ke kaunter imigresen dan mendahulukan urusan pasukan EM1M walaupun terdapat barisan panjang pelanggan lain.

Lain pula di Uzbekistan, kami perlu mengisi borang pengisytiharan jumlah wang tunai dan barangan berharga yang dibawa.

Dengan pengisytiharan itu, duit yang kami bawa keluar nanti tidak boleh melebihi jumlah yang telah dinyatakan dan jika ia berlaku, wang berkenaan akan dirampas khususnya mata wang yang mempunyai nilai tinggi seperti Pound Sterling, Euro dan Dollar.

Lebihan wang tunai yang dibawa keluar bermakna pengunjung berkenaan terlibat dalam kegiatan yang ditegah seperti berniaga atau bekerja sewaktu berada di sana.

Sewaktu keluar daripada pintu sempadan Uzbekistan, kami dapat melihat ada rakyat negara asing yang perlu mengira wang tunai yang dibawa di hadapan seorang petugas kastam.

Kami amat bernasib baik kerana langsung tidak diperiksa, baik dari segi wang tunai yang mahupun barangan yang dibawa dalam tong dan bagasi tajaan Givi Asia Sdn. Bhd. kerana salah seorang daripada kami telah membuat kesilapan pengisytiharan wang tunai dalam jumlah yang agak besar.

Memasuki Turkmenistan, kami berserah kepada takdir kerana menjangkakan bakal berdepan masalah birokrasi, lebih-lebih lagi dua penunggang motosikal dari United Kingdom (UK) ke Singapura yang kami temui di Uzbekistan memberitahu mereka mengambil masa sehari suntuk untuk memasuki negara berkenaan.

Di pintu masuk Turkmenistan, semua rakyat asing diwajibkan mengambil suntikan vaksin namun kami dikecualikan selepas mengemukakan sijil pengesahan suntikan yang dilakukan di Shah Alam beberapa minggu sebelum memulakan perjalanan.

Tidak sebagaimana maklumat yang diterima, urusan untuk melepasi sempadan Turkmenistan berjalan lancar malah beberapa petugas turut membantu urusan kami.

Cuma kami berdepan dengan sedikit masalah sewaktu mahu keluar dari Turkmenistan gara-gara ketiadaan visa Iran. Petugas imigresen Turkmenistan enggan melepaskan kami keluar walaupun dimaklumkan rakyat Malaysia tidak memerlukan visa jika berada di Iran kurang daripada dua minggu.

Walaupun mereka sukar mempercayainya, kami akhirnya dibenarkan keluar selepas mengemukakan surat sokongan daripada Wisma Putra.

Isu ketiadaan visa Iran sekali lagi timbul sewaktu kami mahu keluar daripada republik Islam itu apabila petugas di kaunter imigresennya tidak tahu bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan visa jika berada di sana kurang dua minggu.

Masalah berkenaan bagaimanapun selesai apabila dirujuk kepada pegawai atasannya.

Sementara itu, hanya tiga negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang kami lalui iaitu Bulgaria, Romania dan Hungary yang memerlukan pasport kami dicop dan selepas itu bagaikan tiada lagi sempadan negara yang wujud.

Corak cop yang digunakan amat ringkas, menggunakan bentuk petak, ia hanya memuatkan nama sempadan. Grafik kereta yang menandakan kemasukan adalah melalui jalan darat selain tarikh dan anak panah yang menunjukkan perjalanan keluar atau masuk.

Jika ada kompleks imigresen atau agensi berkaitan selepas itu, ia adalah kompleks kosong yang ditinggalkan manakala di pintu masuk kecil, hanya papan tanda yang menjadi penanda sempadan.

Kami juga bernasib baik kerana tidak berdepan masalah di sempadan Hungary. Maklumat yang kami terima selepas tiba di ibu negaranya, Budapest amat mengejutkan kerana sebelum ini pernah berlaku insiden kulit pasport rakyat Malaysia dikoyak oleh petugas imigresen.

Tindakan berkenaan hanyalah untuk melihat cip elektronik bagi memastikan ketulenannya gara-gara kes pemalsuan pasport Malaysia oleh pihak tertentu.

Pihak berkuasa sempadan terakhir yang kami berurusan ialah Imigresen UK, sebelum menaiki keretapi Eurotunnel di Frethun, Perancis .Secara teknikal sebenarnya penulis dan Chua Chern Kwang yang terpisah daripada Azizi Hashim dan Maxwell Ripin nyaris dinafikan kemasukan cuma kami tidak menyedarinya.

Ia kerana kami berdua memberikan jawapan 'bahaya' apabila memberitahu tidak pasti di hotel mana kami akan tinggal sepanjang berada di London. Mujurlah petugas berkenaan tidak meminta kami mengemukakan tiket penerbangan yang pada masa itu dipegang oleh Azizi sebagai bukti kami akan keluar dari UK dalam masa terdekat.


Apabila bertemu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Zakaria Sulong, barulah penulis dan Chern Kwang menyedari kesilapan yang telah dilakukan malah terdapat beberapa kes rakyat Malaysia dinafikan kemasukan ke UK hanya kerana gagal memberikan jawapan yang khusus mengenai tempat penginapan.


Zakaria dalam pertemuan itu turut menitipkan pesanan kepada rakyat Malaysia supaya menyimpan alamat penuh hotel atau rumah saudara mara dan rakan-rakan yang menjadi tempat menginap jika berkunjung ke UK beserta dengan nombor telefon bagi mengelakkan masalah berbangkit.


Kegagalan menyediakan maklumat tempat tinggal boleh menimbulkan kesangsian tentang tujuan kedatangan ke UK dan ia sudah cukup untuk petugas imigresen mereka menafikan kemasukan ke negara berkenaan.

2 comments:

  1. Semoga pengalaman yang berharga ini dapat dijadikan panduan untuk penjelajahan masa depan. Sesungguhnya suatu ketika dahulu, bangsa kita amat terkenal dengan penjelajahan dan pengembaraan, cuma kurang didokumentasikan untuk tatapan dan rujukan ank cucu. TQ

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah... Terima kasih atas kongsi pengalaman besar dan membanggakan 1Malaysia. Membayangkan betapa susah-payah untuk menempuh dari satu destinasi ke destinasi yang lain selama ekspedisi anda sangat mengujakan.

    Semoga akan ada lebih banyak lagi ekspedisi seumpama ini di masa akan datang - jadi tak perlulah tolak motor kalau nak isi minyak di China tu sebab dah banyak sangat motor Malaysia yg singgah isi minyak!

    InsyaAllah... kalau ada niat nak jual murah Versys bagitau saya!

    ReplyDelete