Maklumat dan sumbangan sila layari:


Wednesday, September 1, 2010

Day 63: Kunjungan Hormat dan Iftar MERDEKA

EM1M baru sahaja selesai membuat kunjungan hormat ke pejabat MAS Regional Manager UK & Ireland - Dato' Syed Abdillah Aziz. EM1M mengucapkan jutaan terimakasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak MAS.

Pada malam ini juga, pasukan EM1M akan menghadirkan diri ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di sini.

Wassalam
1M-CAH
London

EM1M berjaya tiba di London

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

LONDON (United Kingdom) 31 Ogos - Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Selepas 20,941 kilometer (km) mengharungi perjalanan yang mencabar, pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) berjaya tiba di sini tepat pukul 12.05 pagi waktu Malaysia (5.05 petang waktu tempatan).

Ia merupakaan saat yang cukup bermakna kerana pasukan EM1M tiba disini sewaktu genapnya 53 tahun pekikan 'merdeka' bergema di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru apabila bendera Union Jack terakhir diturunkan.

Lebih simbolik, pasukan EM1M memulakan perjalanan mereka pada 1 Julai lalu dari Kompleks Sri Utusan yang 'dilahirkan' akhbar Utusan Melayu- sebuah akhbar yang komited meniupkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini sewaktu era penjajahan.

Bagaimanapun, kejayaan pasukan EM1M tiba di sini hari ini tidak semudah yang disangka kerana diuji dengan cuaca sejuk dan tiupan angin kencang sepanjang perjalanan daripada Reims, Perancis.

Cuaca sejuk berkenaan membuatkan tangan kami terasa kebas kami  malah sekumpulan penunggang motosikal daripada United Kingdom (UK) yang kami temui mengakui mereka juga sukar untuk bertahan dalam keadaan tersebut.

France
Pasukan EM1M sewaktu tiba di Calais, Perancis
Menurut mereka, cuaca sejuk itu merupakan fenomena luar biasa kerana sekarang adalah penghujung kepada musim panas dan ia biasanya berlaku pada musim luruh, Oktober ini.

Sebagai alternatif,  semua anggota pasukan EM1M terpaksa menyarungkan baju hujan tajaan GIVI untuk memanaskan badan bagi membolehkan perjalanan diteruskan ke terminal Eurotunnel di Frethun untuk ke Folkestone, UK.

Sewaktu berada di Frethun, pasukan EM1M nyaris berdepan dengan masalah kerana penulis dan Chua Chern Kwang tidak menyedari bahawa kami berdua perlu menaiki keretapi Eurotunnel yang berbeza daripada Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim dan Maxwell Ripin.

Mujurlah Maxwell menyedari perkara tersebut, jika tidak pastinya kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih besar untuk menyeberangi Selat Inggeris bersama motosikal Kawasaki Versys 650.

Bayaran untuk setiap peserta dan motosikal masing-masing ialah 110 Euro dan sekiranya tempahan secara online dibuat terlebih awal, bayarannya hanya 60 Euro namun kami tidak berbuat demikian kerana khuatir tidak dapat tiba pada waktu yang dijadualkan.

Menggunakan perkhidmatan keretapi Eurotunnel ke Folkestone hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk perjalanan sejauh 50.5 km menggunakan terowong di dasar laut.
France
Kawasaki Versys 650 sewaktu berada di dalam keretapi Eurotunnel
France
Wajah gembira Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang kerana menghampiri
United Kingdom sewaktu berada di dalam keretapi Eurotunnel
Urusan membawa masuk dan keluar kenderaan daripada keretapi berkenaan berjalan lancar kerana ia dilakukan secara sistematik oleh pengurusan Eurotunnel.

Sejurus tiba di Folkestone, pasukan EM1M singgah di sebuah stesen minyak untuk meraikan kejayaan menjejakkan kaki di bumi UK yang menjadi negara terakhir dalam siri penjelajahan selama 62 hari.

Ada dikalangan kami yang menitiskan air mata sewaktu berpelukan sesama sendiri kerana terlalu gembira dengan kejayaan yang dilakar walalupun langsung tidak mempunyai pengalaman melakukan eskpedisi sejauh ini.

England
Pasukan EM1M sebelum memasuki London.
Di London, pasukan EM1M akan menginap selama lima hari di sebuah hotel di Lancaster Street dengan kos ditaja oleh ibu pejabat Islamic Relief (IR).

Sementara itu, pasukan EM1M akan melakukan perjalanan terakhirnya pagi ini daripada Lancaster Street ke kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakaria Sulong untuk menyertai upacara menaikkan Jalur Gemilang bersama rakyat Malaysia yang lain.

Selesainya upacara berkenaan pagi ini menandakan berakhirnya EM1M secara rasmi selepas menjelajah ke 18 buah negara bagi meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, menterjemahkan gagasan 1Malaysia dan dan mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM).

Untuk menyumbang kepada dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334  dan untuk mendapatkan baju-T EM1M edisi terhad, layari www.superyan.net/em1m atau hubungi Ahmad Shahiran di 016-5270969.

Tuesday, August 31, 2010

Day 61 United Kingdom: London

Jutaan penghargaan dari EM1M kepada warga Kedutaan Malaysia di Paris yang diketuai sendiri oleh TYT Duta, Tan Sri Aziz Zainal yang sanggup memandu sejauh 250km semata-mata untuk bersama EM1M dan menyerahkan sumbangan mereka kepada projek anak yatim EM1M. Tahniah dan terimakasih dari EM1M. Moga Allah memberkatinya.
  SMS di terima 1:29pm (waktu Malaysia) 30 Ogos, 2010
Hari ke 61: Pagi yang dingin sekali lagi akan mengiringi perjalanan kami dari Reims ke bandar pesisir pantai Calais, France. Insyaallah, impian 4 anak Malaysia menjejakkan tayar motorsikal mereka dari Kuala Lumpur hingga ke kota London akan ditunaikan pada lewat petang ataupun malam ini waktu tempatan. Teruskan berdoa untuk kami agar dipermudahkan segalanya. Wassalam. Reims, France.
 SMS di terima 1:35pm (waktu Malaysia) 30 Ogos, 2010
Bermotifkan impian untuk bermotosikal merentasi benua di dalam tempoh yang telah ditetapkan. Bermisikan jenama 1MALAYSIA. Berkiblatkan anak yatim sebagai sumbangan kebajikan. Berbekalkan semangat Malaysia BOLEH! walaupun tiada berpengalaman. Berkat doa rakyat Malaysia, dilengkapi dengan perancangan yang teliti disamping pengunaan sumber yang ada dan dengan izin NYA. Kini, tidak lagi mustahil bagi anak Malaysia merentasi 18 buah negara melalui jalan darat sepenuhnya dari benua Asia ke benua Eropah seperti apa yang telah Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) rencanakan. Selepas 62 hari meredahi bumi asing, tepat jam 12.05 malam waktu Malaysia pada tanggal 31 Ogos 2010, deruman enjin motosikal EM1M telah dimatikan di Lancester Street, kota London, menandakan kembaraan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia KL-LONDON telahpun berakhir dengan selamat. 
Yesss! We did it... Selamat Hari MERDEKA ke 53!
 SMS di terima 12:06am (waktu Malaysia) 31 Ogos, 2010

EM1M: 436 km ke 'garisan penamat'

saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

REIMS 30 Ogos - Tinggal 436 kilometer (km) sahaja lagi untuk pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) menamatkan perjalanan di London, United Kingdom (UK).

Terawal meraikan pencapaian pasukan EM1M menghampiri 'garisan penamat', semalam, ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang sanggup berkereta selama sejam setengah daripada Paris ke sini.

Beliau juga tidak menghadiri perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Pierre de Coubertin, Paris yang membabitkan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong dan mewakilkannya kehadirannya kepada Penasihat Pertahanan, Kapten Ismail Abdullah.

Segala-galanya dilakukan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu demi meraikan semangat 1Malaysia dan semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan yang kami bawa daripada tanah air merentasi 17 negara setakat hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, beliau berkata seluruh warga kedutaan kagum dan bangga melihat keupayaan sekumpulan anak Malaysia yang berjaya melakukan ekspedisi bermotosikal sehingga selamat tiba di Perancis.

Katanya, pencapaian pasukan EM1M membuktikan bahawa tiada yang mustahil dicapai anak Malaysia sekiranya ada kesungguhan dan perancangan rapi.

"Pengalaman yang dikutip sepanjang dua bulan berekspedisi wajar dibukukan untuk merangsang motivasi masyarakat khususnya generasi muda.

"Saya berharap pasukan EM1M dikekalkan pada tahun mendatang, jika tidak melakukan ekspedisi sekalipun ia boleh dimanfaatkan untuk projek-projek amal yang lain," katanya.

Dalam pertemuan berkenaan, Abdul Aziz turut menyerahkan sumbangan wang tunai 250 Euro yang dikutip di kalangan warga kedutaan untuk disalurkan kepada dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) yang dipromosikan pasukan EM1M.


France France FranceFrance

Mengiringi Abdul Aziz dalam pertemuan itu ialah Penasihat Kedutaan, Adlan Mohd. Shaffieq; Penasihat (Pendidikan dan Latihan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mohd. Faris Jazlan Ramli; Pengarah Tourism Malaysia di Perancis, Jeffry Munir; Penolong Penasihat Pertahanan, Mejar Mohammad Fadzilah Salleh dan Pembantu Khas Abdul Aziz, Fuad Hussain.

Mereka juga amat prihatin dengan kebajikan pasukan EM1M apabila membekalkan kami dengan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

Selepas Abdul Aziz dan rombongannya bersurai untuk kembali ke Paris, Adlan yang banyak membantu urusan lojistik pasukan EM1M bermula Mac lalu meluangkan masanya untuk terus bersama kami membincangkan tentang hobi bermotosikal.

Paling gembira ialah Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang kerana hasratnya untuk bertemu dengan kakitangan Kedutaan Malaysia yang menunggang motosikal berkuasa besar menjadi reliati.

Istimewanya, motosikal Yamaha Fazer 1000 milik Adlan merupakan satu-satunya motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik di Perancis.

France
FranceFrance

Sementara itu, pagi ini pasukan EM1M menuju ke Calais dan sekiranya masa mengizinkan akan terus menyeberangi Selat inggeris ke Dover, UK, sebelum menyertai upacara menaikkan Jalur Gemilang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, pagi esok.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia(IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334.

Monday, August 30, 2010

Jalur Gemilang 'berkibar' di autobahn Jerman

saiful haizan hasam

SAARBRUCKEN (Jerman) 29 Ogos - Penggunaan grafik Jalur Gemilang dalam keadaan berkibar yang menyaluti badan motosikal Kawasaki Versys 650 pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) mempunyai maksud tersendiri.

Selain menjadi identiti negara asal kami, grafik rekaan dan tajaan Zulkawa Merchandise itu merupakan simbolik kepada pengibaran Jalur Gemilang oleh setiap anggota pasukan EM1M sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, lusa.


Sehingga hari ini, Jalur Gemilang tersebut telah kami 'kibarkan' dengan penuh bangga di 16 buah negara merentasi pelbagai bentuk muka bumi dan cuaca.

View XPDC 1MALAYSIA in a larger map

Bagaimanapun semalam, kami mencatatkan sejarah peribadi apabila berjaya 'mengibarkan' Jalur Gemilang sejauh 350 kilometer (km) di autobahn-lebuh raya terpantas di dunia.

Sebenarnya sejak kelmarin lagi kami teringin menggunakan autobahn kerana teruja dengan keistimewaanya yang dikatakan tidak memiliki had laju namun ia dipendam kerana pelbagai kebimbangan.

Antara yang bermain di fikiran kami ialah kebimbangan mengenai had laju minimum, dikhuatiri pergerakan kami terlalu perlahan untuk berada di atas autobahn sehingga menganggu pengguna yang lain.

Rupa-rupanya, kebimbangan kami tidak berasas kerana had laju minimum di autobahn adalah 60 kilometer sejam (km/j) sedangkan kelajuan purata kami di mana-mana laluan sebelum ini  ialah 80km/j

Kami pantas menyesuaikan diri dengan autobahn walaupun pada mulanya agak gusar melihatkan kelajuan kenderaan lain khususnya kereta-kereta mewah yang memecut lebih 200km/j.

Berdasarkan pemerhatian, autobahn sebenanya bukanlah tidak mempunyai had laju langsung cuma peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan tertentu seperti di laluan dua lorong dengan had laju 120km/j manakala di kawasan kerja penyelengaraan jalan pula, had lajunya ialah 80km/j.

Walaupun bergerak laju, para penggunanya amat cekap selain menghormati antara satu sama lain apabila tidak memaksa pengguna yang lebih perlahan ke tepi dengan membunyikan hon atau menggunakan isyarat kerdipan lampu hadapan.

Mereka juga akur dengan pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti tidak berada di lorong paling kiri (lorong paling laju) sekiranya lorong kanan mempunyai kekosongan.

Selain itu, semua pengguna dilarang berhenti di tepi autobahn kecuali jika berlaku kerosakan, namun jika ia berpunca daripada masalah kehabisan minyak, pemandunya dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh di saman kerana ia berpunca daripada kealpaan sendiri.

Paling tegas ialah mana-mana pengguna yang menyebabkan kejadian yang membahayakan nyawa atau memusnahkan harta benda seperti kenderaan lain serta infrastruktur autobahn, mereka dianggap melakukan jenayah dan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.

Dengan peraturan sedemikian, para penggunanya mempunyai sikap bertanggungjawab walaupun bebas memecut selaju mungkin di kawasan yang dibenarkan.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 .

Sunday, August 29, 2010

Day 60 France: Reims

Salam hari ke 60 dan selamat pagi Malaysia. EM1M akan menuju ke Reims, France sebentar lagi. Cuaca dijangkakan mendung di sepanjang perjalanan. Didoakan agar tidaklah ditimpa hujan sekali lagi. Wassalam.
SMS di terima 2:09pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010
EM1M kini berada di bumi France, negara ke 17 dari 18 negara keseluruhan. Cuaca dingin mengiringi perjalanan kami.
 SMS di terima 3:12pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010
Petikan dari Utusan Malaysia bertarikh 02 Julai 2010, "KOTA LONDON NANTIKAN KEHADIRAN EM1M!". Kota London makin dihampiri di dalam tempoh yang telah ditetapkan. Hanya jarak 436km sahaja yang memisahkan EM1M dari bumi London. Teruskan berdoa untuk keselamatan dan kesihatan kami. Salam mesra dari kami di Reims, France.
 SMS di terima 9:00pm (waktu Malaysia) 29 Ogos, 2010

EM1M di Jerman

saiful haizan hasam


MUNICH (Jerman) 28 Ogos - Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) semakin menghampiri destinasi terakhirnya di London apabila tiba di sini daripada Bern, Switzerland, malam tadi.

Pasukan EM1M mengambil masa hampir 12 jam untuk menamatkan perjalanan sejauh 450 kilometer (km) berikutan hujan lebat sepanjang 230 kilometer (km) pertama perjalanan.

Ia merupakan pengalaman menunggang dalam hujan lebat buat kali ketiga untuk kami selepas Kuala Kangsar ke Patthalung dan Hongyuan di China.

Cuaca sejuk pada tahap 10 ke 15 darjah celcius banyak membantu Ketua Ekspedisi, Kapten Azizi Hashim dan penulis untuk meneruskan ibadat puasa.

Sebelum memasuki Jerman, pasukan EM1M terlebih dahulu memasuki Austria semula untuk jarak perjalanan sejuah 30 km sahaja.

Germany
Suasana di autobahn, lebuhraya terpantas dunia di Jerman

Ketibaan kami di Munich disambut oleh seorang kenalan Azizi daripada forum pemotoran maya antarabangsa, www.advrider.com, Phil yang turut disertai isterinya Marion dan anaknya, Patrizia.

Germany Germany
Philip, Marion (kiri) dan Patrizia yang menemani pasukan EM1M di Munich, Jerman.
Germany
Pasukan EM1M bersama Philip (tiga dari kanan) di Stachusbrunnen, Munich, Jerman
Phil yang merupakan seorang penunggang motosikal yang kerap menjelajah benua Eropah menyifatkan kami 'gila' kerana sanggup melakukan ekspedisi sejauh 22,000 kilometer (km) dan meninggalkan keluarga selama dua bulan.

Beliau sekeluarga turut menyertai kami untuk berbuka puasa secara sempurna kerana sebelum itu hanya air mineral yang menjadi 'juadah' berbuka Azizi dan penulis.

Pelbagai persoalan diajukan Phil mengenai Malaysia termasuklah mengenai ibdah puasa yang tidak begitu diketahuinya.

Germany Germany
Germany Germany Germany

Sementara itu pagi ini pasukan EM1M memulakan perjalanan ke arah sempadan Perancis dan akan memasuki negara berkenaan pagi esok.

Perancis merupakan negara terakhir yang dilalui pasukan EM1M sebelum tiba di United Kingdom (UK).
Kami dijadualkan bermalam di Reims dan dijangka akan menyertai majlis berbuka puasa bersama Duta Besar Malaysia di sana, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

EM1M merupakan projek ekspedisi bermotosikal ke 18 buah negara bagi mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dan untuk menyumbang secara online, layari www.irm.org.my atau hubungi Iskandar Shah Ismail di 019-2665157/03-89486334 .